TUJUAN & RASIONAL

Blog ini diwujudkan untuk anak-anak saya pada masa hadapan. Catatan saya di sini secara tidak langsung ditujukan kepada Qistina, Qayyim, Qawiem, Qaim dan Qaisara supaya mereka dapat mengambil pengajaran & iktibar pada saat saya sudah tiada lagi di dunia ini untuk mendidik dan menasihati mereka. Wassalam.

Saturday, January 1, 2011

Apa Azam Anda?

Assalamu'alaikum,

Bercakap tentang azam, saya pasti setiap orang ada azam mereka yang tersendiri untuk tahun ini. Saya juga ada azam yang inshaAllah akan saya usahakan agar tercapai sebelum atau pada 31.12.2011. Azam akan memberikan kita semangat untuk meneruskan kehidupan sebagaimana azam untuk masuk syurga Allah atau mendapat keredhaanNya telah memotivasikan ramai para ulama' dan abid untuk meningkatkan ketakwaan dan berjaya dalam agama.

Ada dua perkara yang saya nak kongsikan berdasarkan pengalaman saya dengan azam sepanjang 10 tahun ini. Pertama, azam yang kita letak hendaklah azam yang boleh dicapai. Ini kerana azam yang tak mungkin dicapai tidak akan memotivasikan kita. Sebagai contoh, kita meletakkan azam untuk hafaz 5 surah pilihan al-Quran tahun ini. InshaAllah azam ini boleh dicapai kerana 5 surah bukanlah banyak jika dibandingkan dengan 365 hari. Tetapi sekiranya ia tidak tercapai pada akhir tahun, sebabnya bukan kerana ia azam yang mustahil dicapai tetapi kelemahan diri sendiri menjadi faktor kepada kegagalan tersebut. Contoh azam yang tidak boleh dicapai ialah menawan gunung Everest atau berenang menyeberangi Selat Melaka pada tahun ini sedangkan untuk naik tangga bangunan 10 tingkat pun kita dah semput. Lainlah kalau kita kaki panjat bukit atau kaki renang. Sudah dua tahun kita melakukan latihan. Sudah lebih dari 5 buah gunung kita panjat. Bolehlah tahun ini kita letakkan azam untuk panjat Everest dan sebagainya.

Perkara kedua ialah azam dalam setahun boleh dikategorikan mengikut bulan. Maksud saya begini. Dalam setahun ada 12 bulan. Kita bahagikan kepada 3 atau 4 kumpulan. Kalau kita bahagikan kepada 3 kumpulan, setiap kumpulan ada 4 bulan dan kalau kita bahagikan kepada 4 kumpulan, setiap kumpulan ada 3 bulan. Katakanlah kita pilih 4 kumpulan, maka kita ada: Kumpulan 1 (Jan-Mac). Kumpulan 2 (April-Jun), Kumpulan 3 (Julai-September), dan Kumpulan 4 (Oktober-Disember). Setiap kumpulan kita ada 12 minggu atau 90 hari lebih kurang. Kemudian kita letakkan azam-azam kita yang boleh dicapai itu dalam setiap kumpulan bulan yang kita ada. Contohnya, dalam bulan Jan-Mac 2011, atau dalam masa 90 hari pertama tahun ini, apakah azam yang akan saya capai? Letak 1 atau 2 sahaja. Jangan banyak kerana sekiranya ia tidak tercapai ia akan memberi kesan kepada azam-azam dalam bulan-bulan berikutnya. Inilah yang dinamakan timeframe. Dengan adanya due date/dateline ia akan merangsang kita untuk berusaha lebih agar azam yang kita buat dapat dicapai.

~ dari dalam nahzaluz

Qaisara, faham tak apa yang abah tulis? apa? tak faham. Tak apalah. Abah menulis ni untuk Qaisara 15 tahun lagi. 

No comments: