TUJUAN & RASIONAL

Blog ini diwujudkan untuk anak-anak saya pada masa hadapan. Catatan saya di sini secara tidak langsung ditujukan kepada Qistina, Qayyim, Qawiem, Qaim dan Qaisara supaya mereka dapat mengambil pengajaran & iktibar pada saat saya sudah tiada lagi di dunia ini untuk mendidik dan menasihati mereka. Wassalam.

Tuesday, August 26, 2008

Sedikit tentang kisah para Nabi & Rasul a.s.wslm (2)

sambungan ...

1. Nabi Yaa'qub ada 12 orang anak daripada beberapa orang isteri. Antaranya Nabi Yusuf.

2. Adik-beradik Nabi Yusof ini adalah al-Asbath (الأسباط) yang dinyatakan dalam al-Qur'an. Mereka semua telah dilantik menjadi Nabi selepas kes mereka dengan Nabi Yusof yang didorong oleh sifat hasad dengki.

3. Sebagaimana yang kita maklum, kerana sifat hasad dengki sebahagian daripada adik beradiknya, Nabi Yusof akhirnya hidup di Mesir. Baginda dibela oleh Aziz dan isterinya Zulaikha.

4. Diringkaskan cerita akhirnya Nabi Yusof dipertemukan semula dengan bapanya dan adik beradiknya yang lain. Lalu Nabi Yaa'qub membawa Bani Isra'il berpindah ke Mesir. Bermula dari era itu maka tinggallah Bani Isra'il di Mesir bersama penduduk asalnya, iaitu bangsa Arab Qibti.

5. Bani Isra'il hidup di Mesir dalam serba kekurangan dan tertindas. Mereka bekerja sebagai buruh dan dipaksa membina piramid Raja-raja Fir'aun.

6. Kemudian Allah melantik Nabi Musa dan Nabi Harun. Selepas berlaku apa yang berlaku antara mereka dan Fir'aun, Nabi Musa membawa - dengan perintah Allah - seluruh Bani Isra'il yang berada di Mesir kembali ke Palestin.

8. Nabi Yusuf, sebelum baginda wafat, telah berpesan agar mayatnya dibawa kembali ke Palestin apabila Bani Isra'il kembali ke sana. Pesanan tersebut disampaikan turun temurun di kalangan Bani Isra'il sehinggalah ke zaman Nabi Musa. Berdasarkan maklumat seorang perempuan Bani Isra'il yang sudah lanjut usianya, kubur Nabi Yusuf berjaya dikesan berada di dasar sebuah tasik. Wallahua'lam.

9. Semasa Nabi Musa membawa Bani Isra'il kembali ke Palestin, baginda memukul tongkatnya ke Laut Merah, menyebabkan terbentuk 12 lorong. Ini kerana Bani Isra'il terdiri dari 12 puak yang datang dari 12 orang anak Nabi Ya'qub. Begitu juga dengan 12 mata air yang terpancut dari batu setelah dipukul oleh Nabi Musa dengan tongkatnya.

10. Apabila Nabi Musa memberitahu bahawa untuk masuk ke Palestin mereka perlu berperang dengan kaum yang sedang menduduki Palestin pada masa itu, Bani Isra'il dengan sombong dan angkuhnya menyuruh Nabi Musa sahajalah yang pergi berperang bersama Allah sedangkan mereka akan tunggu di situ. Apabila Nabi Musa menang nanti mereka akan masuk ke Palestin.

11. Allah s.w.t murka dengan jawapan mereka itu lalu mereka disumpah oleh Allah sesat di kawasan yang bernama Teeh selama 40 tahun sehinggakan Nabi Harun dan Nabi Musa meninggal dunia di situ.

12. Selepas 40 tahun, yang tinggal dari generasi Nabi Musa hanyalah Nabi Yusya' bin Nun (budak yang dibawa oleh Nabi Musa ketika berjumpa dengan Nabi Khaidir). Baginda telah mengumpulkan 70 orang pemuda yang gagah berani lalu pergi ke Palestin dalam usaha mengalahkan penguasa di sana dan membawa masuk Bani Isra'il.

13. Ketika sampai di Palestin, matahari hampir terbenam. Nabi Yusya' bin Nun memohon kepada Allah agar menahan matahari dari terbenam kerana baginda dan orang-orangnya tiada pengalaman berperang. Sekiranya berlaku perang pada waktu malam, kemungkinan mereka akan kalah. Lalu Allah makbulkan permintaan baginda. Dalam hadis yang sahih Nabi s.a.w menyatakan matahari hanya sekali dalam sejarah diberhentikan perjalanannya, iaitu saat Nabi Yusya' bin Nun mahu berperang untuk masuk ke Palestin.

14. Akhirnya Nabi Yusya' bin Nun menang dan Bani Isra'il pun berjaya kembali ke Palestin.

15. Selepas era inilah datangnya Nabi-Nabi seperti Nabi Daud, Sulaiman, Ayub, Zulkifli, Zakaria dan lain-lainnya sehinggalah yang terakhirnya Nabi Isa di mana Nabi Isa adalah Rasul yang terakhir dari jalur Nabi Ishak.

16. Adapun Nabi Ismail yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di Mekah bersama ibunya Siti Hajar, baginda berkahwin dengan perempuan dari Qabilah Arab Jurhum dan dari keturunannya lah datangnya Nabi Muhammad s.a.w.

Wallahua'lam bissawab.

- Sumber : Buku karangan Dr. Umar Sulaiman al-Asyqar (al-Rusul wa al-risalaat) dan apa yang masih saya ingat dari kuliah Dr. Mahmud Kedah, pensyarah Universiti Islam Madinah semasa saya di tahun 4 Fakulti Bahasa Arab 1995.

Sunday, August 17, 2008

Sedikit tentang kisah para Nabi & Rasul a.s.wslm (1)

Saya nak berkongsi sedikit info tentang Rukun Iman keempat, iaitu beriman kepada Nabi dan Rasul :

1. Bilangan Nabi adalah seramai 124000 orang manakala Rasul 315 orang. Bilangan ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis sahih riwayat Imam Ahmad.

2. Dalam Qur'an hanya menyebut nama 25 orang Nabi dan Rasul sahaja.

3. Dari jumlah tersebut, 4 orang adalah berbangsa Arab, iaitu Hud, Soleh, Syuaib dan Muhammad s.a.w.

4. Ada dua orang lagi Nabi disebut dalam Sunnah yang sahih, iaitu Nabi Syith dan Nabi Yusya' bin Nun.

5. Nabi Yusya' bin Nun adalah teman kepada Nabi Musa ketika baginda pergi mencari Nabi Khaidir. Kisah mereka ada disebut dalam surah al-Kahfi. Nabi Yusya' bin Nun juga berperanan membawa 70 orang pemuda Bani Israel menyerang Baitul Maqdis dalam usaha membawa balik Bani Israel yang sesat di Teeh selama 40 tahun kembali ke Baitul Maqdis.

6. Nabi yang dikhilafkan oleh ulama' ialah Zulkarnain, Tubba' dan Khaidir.

7. Imam Fakhruddin al-Razi mengatakan bahawa Zulkarnain adalah Nabi manakala terdapat riwayat dari S. Ali r.anhu mengatakan bahawa beliau bukan Nabi.

8. Walau bagaimanapun ada hadis yang mengatakan Nabi s.a.w sendiri tidak tahu adakah Zulkarnain dan Tubba' Nabi atau tidak. Jadi pendapat yang selamat dalam masalah ini ialah tawaqquf.

9. Adapun Nabi Khaidir, pendapat yang kuat ialah beliau adalah seorang Nabi.

10. Adakah Nabi Khaidir telah wafat atau masih hidup? Ulama' khilaf dalam masalah ini tetapi pendapat Imam Bukhari dan kebanyakan ulama' hadis ialah beliau telah wafat. Wallahua'lam.

11. Antara Nabi Isa dan Nabi Muhammad tiada Nabi. Ia thabit dalam hadis Bukhari dan Muslim.

12. Sedikit cerita sebagai gambaran susur galur para Nabi dan Rasul bermula dari Nabi Allah Ibrahim a.s :

- Nabi Ibrahim digelar Abu al-anbia' (Bapa Nabi-Nabi). Hal ini demikian kerana dari keturunan beliau lah datangnya para Nabi & Rasul yang disebut di dalam al-Qur'an.

- Nabi Ibrahim tinggal di Babylon, Iraq, di bawah pemerintahan Raja Namrud. Namrud adalah gelaran kepada Raja di Iraq sebagaimana Fir'aun adalah gelaran kepada Raja Mesir.

- Nabi Ibrahim pada masa itu beristerikan Sarah. Orang melayu memanggilnya Siti Sarah. Perkataan Siti asal nya dari perkataan Arab: Sayyidati, yang bermaksud : Puan.

- Selepas berlaku apa yang berlaku antara Nabi Allah Ibrahim dan Raja Namrud, Nabi Ibrahim keluar dari Babylon bersama isterinya dan anak saudaranya Nabi Lut. Mereka akhirnya menetap di Palestin.

- Kemudian berlaku kemarau di Palestin, menyebabkan beliau ke Mesir. Raja Mesir pada masa tu minat kepada isteri orang yang cantik dan akan merampasnya. Sarah adalah seorang perempuan yang tersangat cantik. Dengan izin Allah, Sarah terlepas dari dirampas oleh Raja tersebut. Bahkan Raja itu menghadiahkan Hajar, seorang hamba berbangsa Qibti, kepada Sarah. Nabi Ibrahim kemudiannya kembali semula ke Palestin.

- Di Palestin, hiduplah mereka 3 orang bersama pengikut mereka, orang2 Islam. Tetapi Nabi Ibrahim tidak dikurniakan anak walaupun umur baginda sudah lanjut. Lalu Sarah menghadiahkan Hajar sebagai isteri. Maka kahwinlah Nabi Ibrahim dengan Hajar dan dikurniakan zuriat, iaitu Nabi Ismail.

- Kemudian Allah mewahyukan Nabi Ibrahim meletakkan Hajar dan Nabi Ismail di Mekah dan ditinggalkan 2 beranak tersebut di sana. Nabi Ibrahim kembali semula ke Palestin dan menziarahi mereka sekali setahun.

- Kemudian Sarah melahirkan Nabi Ishak. Nabi Ya'qub adalah anak Nabi Ishak, iaitu cucu kepada Nabi Ibrahim dan anak saudara kepada Nabi Ismail.

- Nabi Ya'qub juga dipanggil Isra'il. Jadi, Bani Isra'il bermaksud anak-anak Nabi Allah Ya'qub. Maknanya, Bani Isra'il atau Yahudi sekarang adalah dari keturunan Nabi Allah Ya'qub.

.... bersambung.

Thursday, August 14, 2008

http://www.esnips.com/user/nahzaluz

I have created my account at esnips and uploaded files to share. Thanks to Ust Naseem. At least I have a safe place insya Allah to save my PhD workfiles.

Have a nice day.

http://www.esnips.com/user/nahzaluz

"Kakak, we are waiting for your partner..."

Kakak,

Mama always says that having only you is not enough. We have 3Qs like me and that is enough. I got 3 members already - jogging on bed everyday - and you and your mama just two he he. But you know, lucky you (and Alhamdulillah), the doctor said yesterday that your partner insya Allah will arrive soon ha ha

Well, Mama is the happiest mum I thought when the doctor confirmed that yesterday ... and you're happy too. Aren't you? ha ha

اللهم ارزقنا بنتا صالحة جميلة كاملة الجسم سليمة العقل

Thursday, July 3, 2008

... proud of you both.


... sajer nak bagitau kakak sama abg, malam ni kira bagus la sbb masing-masing pastikan kerja sekolah dll beres awal sebab besok tak nak bgn lewat. Kakak tahu kalau abg Qayyim bgn lewat, lewat la ke sekolah. Kalau lewat nanti kena denda sebab start 1 Julai sekolah kakak akan denda mana-mana pelajar yg datang lewat ke sekolah. Abg Qayyim bgtau abah, tadi dia tengok sorang budak lelaki sama 2 org budak pompuan kena denda. Abg Qayyim pun rasa malu kalau kena denda mcm tu. Sebab tu abah tgk dua hari ni abg Qayyim rajin sikit. Biasanya Tom & Jerry channel 616 yg duk ulit abg Qayyim tidur. Tapi skrg ni tak lagi he he ... bagus la.

~ dari dalam nahzaluz

Wednesday, July 2, 2008

hah! dah setahun dah?

... hu hu hari ni dah 2hb Julai 2008. Saya start cuti belajar 2hb Julai 2007. Maknanya dah cukup setahun. Maknanya dah tak boleh main-main lagi. Maknanya kena write hard la lepas ni hu hu ...
dan kalau ikut perancangan saya, hari ni kena start tulis yang betul-betul punya, ikut gaya UKM.

Dari segi instrumen, beres. Dah clear. Cuma detailsnya tu tengah duk baca skrg ni. List rujukan-rujukan di universiti dah buat. Rujukan pun dah kira banyak lah juga yg dah dikumpul. Tapi still kena cari lagi.

... tapi kan, kadang-kadang tu rasa runsing juga. Takut tak boleh siap on time. Tapi kalau tak siap on time boleh sambug lagi 1 sem. 1 sem sama dgn 5 bulan lebih kurang. 5 x RM 900 = RM 4500... eh boleh tahan jugak tu he he

... kira jgn tak kira. musim minyak naik ni kena berkira sikit. sikit takpa he he ...

~ dari dalam nahzaluz

Tuesday, June 17, 2008

Pengajaran dari kekalahan Rep. Czech untuk abg Qayyim

Abg Qayyim,

Pagi tadi masa tgh cuci karpet abah teringat ke Peter Cech. Abg Qayyim tahu dok saper dia? Tulah dia penjaga gol Rep. Czech. Antara penjaga gol terhebat atas muka bumi tahun 2008 ni. Kesian sungguh abah tgk dia. Dalam paper hari ni bgtau dia rasa malang sungguh. Dah la terlepas 3 kejuaraan bersama Chelsea musim ni, dengan sebab kesilapan tak tangkap boleh dengan kemas akhirnya pasukannya berputih mata. Abg Qayyim tahu ke makna berputih mata? Bukan lah maknanya mata hitam mereka hilang sampai tokleh melihat tapi maksudnya kecewa la, ssajer, sebab kalah. Bila kalah kena balik awal la. Penyokong Rep Cezh abah tgk senyap, tok bbunyi sorang pun. Tunduk kecewa. Ada yang menangis. Tapi itu lah adat perlawanan kalau abg Qayyim nak tahu. Hari ni menang, esok mungkin kalah. Tapi yang malangnya, hari ni kalah, esok org lain menang, lusa hampir seri tapi di saat-saat akhir kalah juga he he

Tapi kan abg Qayyim, sebelum minit ke 75, peminat Rep. Czech bersorak sakan. Suka sampai tok ingat ke dunia. Masa tu pasukan mereka dah lead 2 goal. Mereka mcm yakin akan menang. Lagipun pasukan Turki bukanlah sebuah pasukan yang dibarisi pemain hebat. Pasukan Turki bukan lah kuat mana abg Qayyim. Tapi dengan sebab gol jaringan Arda pd minit 75, Turki mendapat suntikan semangat. Kemudian bila Peter Cech buat silap, keadaan dah jadi terbalik. Turki mula beri tekanan kepada lawannya. Abg Qayyim kena ingat, kesilapan Peter Cech memang memberi kesan kepada beliau. Akhirnya gawang Rep. Czech bolos lagi untuk kali yang ketiga. Turki melangkah bergaya ke peringkat seterusnya untuk bertemu Croatia (sebuah pasukan yang boleh abah boleh sifatkan sebagai pasukan 'babil'. Abg Qayyim tahu makna 'babil'? ha ha) sedangkan penyokong Rep. Czech senyap tak terkata ...

Apakah pengajaran yang abah nok abg Qayyim ambil?

Mudah jer... abah buat contoh gini. Pah tu abg Qayyim fikirlah sendiri. Peter Cech tu abg Qayyim. Penyokong Rep. Czech tu abah dan mama. Perlawanan tu adalah alam persekolahan dan kehidupan abg Qayyim.

Abah & mama toksey bersorak sakan 75 minit jer ...

Semoga abg Qayyim rajin mcm kakak. Abg Qayyim ingat dok abah pesan apa dlm kereta pagi tadi?

~ dari dalam nahzaluz

Friday, June 13, 2008

Sekuel Filem Pedang Setiawan


Cuti sekolah baru ni, time balik KB, adik bongsu saya bagitau filem Pedang Setiawan akan disambung. Pakai tajuk Storm Warriors. Fuh, teruja betul sebab dah 10 tahun tunggu. Kalau ikut laporannya, kepala crook kali ni ialah Atheis Jati. Bila ingat balik silibus cerita ni, dah nampak part mana dalam komik yang akan difilemkan. Kalau nak tahu korang check la sendiri. Tu pun kalau korang masih simpan lagi...

http://us.imdb.com/title/tt1186371/

What is the best way to study Arabic (2)?

قلت سابقا إن أمامك طريقين، ولكل جهة تقود سالكه إليها، والجهتان طبعا لا تتماثلان ولا تستويان. وقد يروبك شك فتتساءل : كيف يكون ذلك؟

إن الأمر بسيط جدا قريب الفهم لو كنت من الذين قضوا ماشين على الدرب الذي كنا عليه أكثر من عشرين سنة. نعم، ذقنا العربية ما ذقنا وعشنا حياتها ما عشنا حتى يصبح معظمنا من معلميها ويعد بعضنا من رجالها

اعلم أن قصدي حين رابطت السبيلين بخلق الله الذي لا يفني لا أعني به جازما أن متعلمي العربية كأولئك المبشرين بالجنة رضي الله عنهم. والله لا. وإنما نويت التنبيه على وطيد الصلة بين سعادة الآخرة وتعلم وتعليم العربية

... وللأسف، يجمد أذهاني الليل ظلامه فأذهب عني كل قدرتي على إبداء رأيي فأستودعكم الله وشكرا... تصبح على خير


Makan angin kat Summerset Rompin






Kakak, kakak ingat lagi tak dulu kita pernah pergi Rompin makan angin? Tarikhnya 28 Mei 2008. Masa tu kakak darjah tiga. Abg Qayyim darjah satu. Adik Qawiem tak ada darjah sebab sekolah tadika. Adik Qaim lagilah tak ada darjah sebab pakai pampers lagi. Ingat tak? Kakak kan budak cerdik. Mesti ingat kan?

Cuba kakak tengok balik gambar-gambar kat sebelah. Ingat kan?

Kakak tau tak kenapa kita pergi makan angin jauh sangat kali ni? Tahun lepas kita pergi Kuantan. Kita tidur kat Hotel Sri Malaysia. Kakak ingat kan? Kenapa tahun ni jauh sangat kita pergi? 4 jam 30 minit tanpa henti hari tu abah bawak kereta. Berenti sekali jer kat stesen minyak Caltex pekan Nenasi. Tu pun sebab abah tak tahan dah nak buang air. Adik Qaim takpa lah. Dia pakai pampers he he.

Kalau kakak nak tahu sebabnya, simple jer. Semuanya tu sebab kad MBF Countdown ha ha. Abah dah amik kad tu. Ada la abah kena bayar sikit. (sikit ke? he he). Sebagai hadiahnya, kita boleh tidur free kat Summerset Rompin 2 malam. Bila abah tanya hotel tu bilik kita tidur tu sebenarnya berapa harga, dia kata RM230 lebih kurang. Jadi walaupun tidur free, hakikatnya harga kad tu lebih kurang dengan harga bilik kita tidur untuk 2 malam ha ha ... cuma kad tu abah boleh guna sampai bila-bila la. Tak rugi la abah amik kad tu. Lagipun kalau tidak, kita mungkin tak ke mana cuti sekolah hari tu. Mama kan tgh mengandung. Tak larat. Tapi oleh kerana kalau tak pergi nanti rugi, kena la pergi juga. Yang seronoknya, kakak dan adik-adik kakak tu la ...

Abah dan Mama apa dapat? Seronok bila tengok anak-anak abah seronok. Satu lagi, dengan sebab trip ke Rompin tu la syarikat Nescafe dan pengeluar-pengeluar Kopi campuran 3/4/5 dalam satu telah kehilangan pelanggan tetap mereka he he ... eh mcm mana tu? nanti lah abah story lain kali.

Kakak, bila besar nanti kakak jadi contoh kepada adik-adik ya...

~dari dalam nahzaluz

Thursday, June 12, 2008

Trip ke Gua Musang






Dalam posting saya sebelum ni saya ada sebut tentang kawan-kawan saya. Kawan-kawan masa kecil, kawan-kawan masa kat sekolah dll. Salah satu tempat yang telah melakarkan satu kenangan manis dalam sejarah hidup saya dan telah menambah bilangan kawan-kawan saya ialah Gua Musang.

Dulu bagi orang Kelantan kalau sebut Gua Musang memang 'darat' la (sorry to say). Tapi sekarang tak lagi. Gua Musang dah pesat membangun. Rasanya orang Gua Musang tak malu lagi nak sebut ke orang Kota Bharu bila tanya: duk mmano? Guo Muse.

Saya pernah duduk di Gua Musang setahun setengah lebih kurang. Masa tu tahun 1996. Awal tahun. Umur saya 26 tahun. Lepas balik dari Madinah akhir 1995 saya minta mengajar di sekolah YIK. Pada masa tu Ust Nik Dir, bekas Mudir MML jadi penemuduga. Beliau tanya saya kalau mengajar di Gua Musang boleh ke? Saya kata, boleh. Yer lah sebab nak kerja kan. Kalau kata tak boleh kan tak dapat pula. Tapi dalam hati harap-harap dapatlah sekitar K. Bharu.

Ditakdirkan saya dihantar ke Sek. Men. Ugama (Arab) Gua Musang. Kawan saya Nasir yang sama-sama grad dengan saya dari Madinah pun sama juga, dapat mengajar kat sekolah yang sama. Maka mengajarlah kami kat Gua Musang.

First time ke Gua Musang untuk lapor diri, pergi naik teksi. Fuh, jauhnya rasa. Memang jauh. 189 KM kalau tak silap. Lebih jauh dari KB ke KT. Sampai kat sekolah, lepas letak beg besar kat depan bilik guru perempuan di tingkat bawah terus naik ke pejabat di tingkat dua dan jumpa Mudir, Ust Ramli Din. Fuh, semangat betul. Budak-budak pakat tengok belaka. Siapa lah agaknya yang sampai?

Kami tak kenal sesiapa di Gua Musang. Jadi kami pergi dengan harapan pihak sekolah boleh sediakan atau carikan tempat kami tinggal. Alhamdulillah, sekolah ada rumah kosong untuk guru tapi kena jalan kaki la sikit. Lebih kurang satu km.

Pengalaman pertama tidur kat rumah tu, masih saya ingat lagi, Nasir terpaksa ambil briefcase saya buat bantal. Sebelum tidur, study dulu sebab besok Mudir suruh terus masuk kelas. Kalau tak study dulu nak mengajar apa. Masa tu kita budak baru nak mengajar. Hampeh.

Pagi besoknya jalan kaki ke sekolah. Fuh, glamer habis. Budak-budak pompuan pakat tengok belaka. Siapalah guru baru yang hencem dan muda ni? Sorang kurus tinggi, Sorang lagi biasa-biasa sajer. Perut masa tu tak boroi lagi tau!

Bermula hari tu, bekerja dan hiduplah kami di Gua Musang. Kawan-kawan pun bertambah. Kisah suka duka pun banyak. Akhirnya pada pertengahan 1997, sampailah masa kami kena berenti sebab dah sampai masa nak sambung belajar.

Saya sebenarnya dah target nak mengajar tak lama. Nak cari pengalaman dan kumpul duit jer sebab saya dah niat nak sambung belajar. Awal 1997, saya dan Nasir pohon sambung MA kat UKM. Alhamdulillah dapat. Mei 1997, kami tinggalkan Gua Musang dengan seribu kenangan manis yang tak akan kami lupakan dalam hidup kami.

Masa cuti semester pertama saya ambil peluang pergi ziarah kawan-kawan kat Gua Musang. Lepas tu dah tak sempat dah. Kemudian saya kahwin dan menetap di Terengganu, memang tak ada masa langsung nak pergi. Lagipun perjalanannya tersangat jauh.

Walaupun begitu, hasrat ke Gua Musang tak pernah padam dalam hati saya. Suatu hari saya mesti sampai juga sekali lagi. Saya nak jumpa kawan-kawan yang masih mengajar kat sana. Sehinggalah pada hari 15hb Mei 2008, sehari sebelum Hari Guru, selepas 11 tahun, dengan izin Allah saya sampai juga akhirnya ke Gua Musang.

Saya ke Gua Musang ikut jalan baru. Jarak perjalanannya macam kat bawah :

1. Kuala Berang ke Kenyir : 35km
2. Kenyir ke Felda Aring : 74km
3. Felda Aring ke Lebuhraya GM-K. Krai : 39km
4. Lebuhraya ke bandar GM : 43km

Jumlahnya 191km , memakan masa lebih kurang 3 jam. Saya bertolak dari Kuala Berang pukul 8 pagi dan balik semula petangnya ke Kuala Berang pukul 6 petang.

Insya Allah tahun depan, bila dah start kerja lapangan tesis saya, saya akan sekali lagi ke Gua Musang sebab sekolah tempat saya mengajar dulu tu ada pelajarnya ambil STAM. Kajian saya nanti ialah tentang kebolehbacaan buku teks balaghah STAM di sekolah YIK.

~ dari dalam nahzaluz

Sunday, June 8, 2008

Lama tak menulis ...

Kalau tak silap lebih kurang sebulan saya tak kongsi cerita. Bukan tak ada cerita tapi tak sempat. Posting ttg b. Arab tu pun belum sambung lagi. Insya Allah 2 3 hari ni boleh continue....

~ dari dalam nahzaluz

Syukran kepada antiQue & Seri

Terima kasih kepada antiQue & Seri atas komen.

Kepada antiQue, saya tak pindah satu keluarga ke KL. Saya ulang alik lebih kurang 3 minggu sekali sekarang. Masa first semester dulu setiap minggu. Sebab tu dulu saya ada sebut, kalau ada masa boleh saya ziarah antiQue sama bro amorist. Boleh lah ajak bill sekali. Bukan apa, cuma nak kenal jer ...

Kepada Seri, masih lagi dengan abuya ke? Beliau mcm mana? Sihat? ... Insya Allah kalau kelapangan, nak juga pergi lepak kat kafe tu sambil kenal-kenal dengan geng Syiah. Buat kawan takpa. Bukannya nak cari balah.

~ dari dalam nahzaluz

Friday, May 2, 2008

What is the best way to study arabic?

ماذا يعني انضمامك إلى هذا الصف؟

بعد التفاتك إلى مبنى مدرستك الابتدائية وقلت لها وداعا : شكرا على التعليم والتربية فأمامك سبيلان لا ثالث لهما، أحدهما يسير بك إلى الدنيا والآخر يوجهك إلى الآخرة ... أموافق أنت على رأيي هذا؟

وللكلام بقية إن شاء الله، والسلام

"eh, lagi dua bulan nak cukup setahun"

Sungguh cepat masa berlalu. Sedar tak sedar dua bulan lagi cukup setahun saya sambung belajar. Bila muhasabah balik, dalam setahun ni apa yang saya buat? Banyak releks ke, banyak study? ke studo (tido - pinjam ayat Ust Kamarudin)?

Semester pertama memang khusus untuk kelas metodologi. Seminggu sekali ulang alik by car dengan Ust Wahid. Semester kedua pula, awal semester bentang proposal. Lepas jer pembentangan, start cuti sekolah dan demam pilihanraya bermula. Walaupun proposal ada kena ubah sikit, seingat saya sebulan penuh saya tok ccagho ko belaja ... kira macam cuti la he he. Maklumlah, demam pilihanraya.

Sekarang ni semester kedua saya ada lagi 2 bulan. Rasa takut juga sebab belum start menulis lagi. Tapi bila ingat biasa lah orang kata kena baca banyak-banyak dulu sebelum menulis, rasa ok lah jugak. Tak lah takut sangat.

Sekarang saya tengah baca lagi dan lagi tentang readability dan cloze test. Saya tengok kajian-kajian lepas. Saya nak pastikan apakah instrumen yang mereka gunakan untuk mengukur kebolehbacaan. Insya Allah 8hb Mei ni ke UKM jumpa penyelia. Nak tunjukkan instrumen yang pernah digunakan sebelum ini. Ada lebih kurang 5 hari lagi nak prepare. Sempat kot ...

Ada 2 bulan lagi nak kena baca sungguh-sungguh. Bulan ni dan bulan depan. 2hb Julai tahun lepas saya start daftar semester pertama. Tarikh tu juga tarikh saya start cuti belajar. 2hb Julai nanti saya WAJIB start tulis muka surat pertama tesis saya. Mesti. Sebab dah masuk setahun...

~ dari dalam nahzaluz

Thursday, April 10, 2008

Formula Kebolehbacaan Bahasa Melayu

Pencipta formula kebolehbacaan bahasa Melayu ialah Prof Dr. Khadijah Rohani dari UM. Beliau dah pun bersara sekarang. Hari ni saya ada baca artikel beliau tentang formula kebolehbacaannya dalam Jurnal Dewan Bahasa & Pustaka bulan April 1987.

Saya petik beberapa maklumat dalam artikel tersebut untuk sama-sama kita berkongsi ilmu :

1. Formula kebolehbacaan ialah persamaan matematik yang ditubuhkan melalui prosedur analisis regresi. Prosedur ini mencari persamaan yang dapat menunjukkan hubungan di antara dua pembolehubah.

2. Di dalam konteks ini, pembolehubah yang digunakan oleh penulis ialah :

i- struktur ayat = hitung panjang jumlah perkataan dalam ayat.
ii- perbendaharaan kata = jumlah suku kata

3. Kriteria struktur ayat dan perbendaharaan kata yang digunakan dalam pembentukan formula kebolehbacaan dalam bahasa Melayu merupakan juga kriteria yang digunakan dalam penubuhan formula kebolehbacaan dalam bahasa-bahasa moden yang lain di dunia hari ini.

4. Maksud kebolehbacaan bahan bacaan ialah keupayaan dan tahap senang-susahnya sesuatu bahan bacaan itu difahami.

5. Formula kebolehbacaan pula ialah satu cara atau teknik yang objektif dalam mengagak atau meramalkan tahap senang-susahnya bahan-bahan bacaan itu.

6. Cara menggunakan formula :

- Pilih 3 petikan secara rawak (1 di awal, 1 di tengah dan 1 di akhir buku). Setiap satu petikan harus mempunyai 100 patah perkataan. Jadi, jumlah perkataan ialah 300 patah perkataan.

- Hitung jumlah ayat dalam setiap petikan dan campurkan. Contoh : Petikan 1 = 16.3 ayat, Petikan 2 = 15.1 ayat dan Petikan 3 = 20 ayat. Jadi jumlah kesemua ayat ialah 51.4 ayat.

- Kemudian kira hitung panjang jumlah perkataan dalam ayat. Contoh : Jumlah kesemua perkataan (300) bahagi dengan jumlah kesemua ayat (51.4) = 5.836

- Setakat ini, kita dah dapat score untuk struktur ayat. Seterusnya, score untuk perbendaharaan kata.

- Hitung jumlah suku kata dalam setiap perenggan dan campurkan. Contoh : Petikan 1 = 216, Petikan 2 = 227 dan Petikan 3 = 251. Jadi jumlahnya = 694.

- Dengan ini kita dah dapat score untuk perbendaharaan kata, itu 694.

- Seterusnya, score struktur ayat (5.836) kita darabkan dengan 0.3793 = 2.213

- Kemudian score perbendaharaan kata (694) kita darabkan dengan 0.0207 = 14.366

- Lepas tu kita campurkan hasil darab di atas : 2.213 + 14.366 = 16.579

- Akhir sekali, jumlah di atas kita tolak dengan 13.988 = 2.59

- Keputusannya: Tahap Kebolehbacaan ialah 2.59

7. Walau bagaimanapun harus ditekankan bahawa formula kebolehbacaan hanyalah semata-mata satu alat untuk menganggar tahap kebolehbacaan sesuatu teks atau bahan bacaan. Formula ini tidak mungkin dapat mengukur atau menilai secara langsung konsep-konsep yang digunakan atau kepadatan idea yang terdapat di dalam sesuatu bahan bacaan itu.

8. Formula ini janganlah dianggap sebagai satu-satunya jawapan atau penyelesaian terhadap masalah penilaian buku dan penentuan kesesuaian bahan bacaan dengan murid-murid, tetapi hanyalah sebagai langkah pertama dalam mencari penyelesaian ke arah itu.

~ dari dalam nahzaluz

Monday, April 7, 2008

"Kakak, nak bubuh nama apa ah?"


"Kakak, alhamdulillah, hari ni mama dan abah dah balik rumah lepas satu malam tidur kat wad. Mama dah bagitau kakak kan yang mama sekarang ni tengah mengandung 3 bulan. Kalau kakak nak tahu, kandungan mama ada masalah sikit. Mama tak boleh nak buang air kecil sebab rahim mama (adik kakak ada kat dalam, sihat) stuck kat tulang pelvis dan menekan saluran kencing. Apa makna stuck dan pelvis tu kakak cari sendirilah hah ha.

Mama dah dapatkan rawatan kat KTS. Alhamdulillah, dah sembuh. Semalam abah dan mama tidur kat wad. Tak lah boring sebab ada tv. Cuma mama la kesian sebab kena tidur meniarap sampai ke pagi. Itu lah pengorbanan mama. Masa mama mengandungkan kakak dulu lagi kesian. Mama tak boleh tidur baring telentang beberapa bulan. Kalau abah tak silap sebab rahim mama (kakak ada dalam masa tu) turun sikit selepas mama bonceng motor sama abah ke UKM jumpa penyelia mama. Masa tu mama tengah buat MA.

Bila abah balik subuh tadi nak pergi hantar kakak dan adik2 sekolah, mula-mula tu abah rasa seronok lah sebab abah tengok Qayyim sama Qawiem dah siap mandi. Masa tu pukul 6.15. Biasanya kalau abah dan mama ada kat rumah pukul 7 baru siap.

Tapi kan kakak, abah jadi tension sebab kakak nangis. Puncanya sebab kakak tak confirm kena pakai baju kurung ke baju sekolah sebab hari ni sekolah kakak buat majlis Maulidurrasul. Kakak juga tak pasti bawa beg ke, ada kelas fardhu ain ke ... Abah ni dari dulu lagi tension sokmo kalau kakak nangis. Kakak tu, benda-benda yang kecik pun kakak boleh nangis.

Kakak ni cerdik, rajin, tekun, pandai cakap. Abah dan mama bangga dengan kakak. Dengan sebab kakak rajin lah Qayyim pun abah tengok dah rajin sikit. Bila kakak ajak dia buat kerja sekolah dia ikut. Cuma satu jer abah lemah dengan kakak. Kakak ni mudah nangis.

Lain kali kakak jgn nangis yer. Kesian la kat abah sama mama. Ok? Oh yer ... adik kakak yang no 4 nanti nak bubuh nama apa?"

~ dari dalam nahzaluz

Saturday, April 5, 2008

MASUM Perlis 2007

Telatah anak-anak (1)

One of my favourite songs

The Price - Twisted Sister (1984)

One of my favourite songs. I mean the song and lyric, not the band!



~ dari dalam nahzaluz

"Pening kepala weh ..."

Bulan april ni dah masuk bulan ke 10 saya sambung belajar. Ada lagi 26 bulan. Setakat ni proposal baru jer lulus. Perjumpaan pertama kali dengan penyelia baru dah beres akhir bulan Mac baru ni. Penyelia suruh ubah sample kajian dari peringkat universiti ke sekolah. Proposal baru tu kena siap sebelum 17hb ni sebab dah janji pada tarikh tu nak jumpa kali kedua.

Takpalah. Mengaji ni memang kena lagu tu. Kalau tak tukar sana, ubah sini toksah panggil mengaji la.

Masalahnya, kepala otak saya ni. Rasanya dah jeng sikit. Dah tak pickup. Sekarang ni tengah baca buku asas kepada kajian saya, iaitu The Measurement of Readability oleh George R. Klare, Prof of Psychology, Ohio University (1969). Dah 3 hari baca Part 1 tapi tak faham-faham. Kalau ada yang faham cepat lupa pulak. Rasa sangat azhan saya dah semakin down. Bila baca lama sikit rasa berat jer kepala. Hampeh! :-)

Betul lah, kalau nak sambung belajar, sambunglah cepat-cepat. Kalau umur dah baya saya atau dah masuk 40'an otak dah tak smooth dah. Nak lulus tu boleh tapi nak gain more knowledge and facts tu kena usaha lebih la...

~ dari dalam nahzaluz


Tuesday, April 1, 2008

Teman-Teman Madinah (1)


Menziarahi Dr. Radhi di USM. Saya dah tak ingat bila tapi yang confirmnya time balik cuti musim panas.

Keterangan gambar :

Duduk dari kiri :

1. Ust Wan Noh Wan Hamzah - Menantu Muhammad Uthman El-Muhammady. Sekarang mengajar di MML.
2. Ust Mohd Ali Mohd Yusoff - Bertugas di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UDM Kampus KUSZA.
3. Ust Dr. Azwira Abd. Aziz - Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM.
4. Ust Syafiq Musa - Mengajar di MML.
5. Ust Abu Bakar Mohd Noor - Maklumat terkini yang saya dapat, beliau mengajar di sebuah kolej di Bangi. Beliau juga salah seorang pengadil FAM.

Berdiri dari kiri :

1. Ust Azli Khalid - Dah lama tak dengar berita ttg beliau. Saya tak tahu dia bekerja kat mana sekarang.
2. Ust Munawar - Mengajar di MRSM, Penang.
3. Ust M. Noor M. Zain - Pensyarah Jabatan Syariah, FPI, UKM. Sekarang sedang sambung PhD di UIA.
4. Ust Badrul Hisham - Mengajar di MML
5. Ust Dr. Abdul Basit Abdul Rahman - Pendakwah bebas. Lepasan PhD dari Universiti Islam Madinah. Beliau boleh dilawati di http://www.abuanasmadani.com/
6. Ust Murtadha - Pegawai zakat Majlis Agama Islam Kelantan
7. Ust Abdul Latif - Adik Dr. Abdul Basit. Sekarang ADUN Mengkebang, Kuala Krai.
8. Ust Khairul Anwar - Pensyarah di USIM. Adik kepada Dr. Zulkifli Mohd al-Bakry.
9. Ust Hakim Zainal - Pensyarah Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, FPI, UKM.

Sunday, March 30, 2008

Projek MML SPM 1988



Hari tu tak sempat nak tulis pasal projek ni. Malam ni nak sambung. Ok. Projek ni kalau berjaya memang banyak manfaat. Tapi nak jayakannya tu, fuhh... banyak kerja nak kena buat. Larat ke buat sorang? Kalau ada semangat Penjejak Awan, boleh kot... he he

Sebelum ni sebenarnya dah dua tiga kali saya berjaya kumpulkan kawan-kawan lama. First, kawan-kawan kat Madinah dulu. Kami buat di Besut tahun 2002. Saya himpunkan kawan-kawan satu batch dari Kelantan dan Terengganu. Caranya mudah saja. Kami tetapkan tarikh dan tempat. Lepas tu masing-masing datang bawa family dan sewa chalet. Saya dan beberapa orang lagi bawa makanan. Selesai.

Selepas berjaya berkumpul mcm ni timbul idea nak kumpulkan kawan-kawan satu sekolah dulu. Saya buat cara yang mudah saja. Saya call dua tiga orang kawan lama, suruh mereka panjangkan kepada kawan-kawan lain. Bagitau malam sekian-sekian, pukul sekian-sekian, tempat sekian sekian kita pakat-pakat keluar minum. Tak ada orang sponsor. Masing-masing bayar. Alhamdulillah, jadi. 3 kali dah kami buat. Kehadiran lebih kurang 8- 10 orang. Cuba bayangkan kawan yang dah 15 tahun tak jumpa, yang kita tak tahupun dia duk kat mana, dah jadi orang ke jadi apa, tiba-tiba ada sama. Alangkah seronoknya. Kalau bini masing-masing tak call rasanya tak balik malam tu he he ... Last sekali kami buat raya lepas. Imran Kamali call, minta ajak kawan-kawan lain. Saya ajak Nazmi sama Nasir. Kami minum kat restoren dekat rumah Imran. [Tgk gambar kat atas]

Untuk projek MML ni saya ingat saya nak try buat besar sikit la. Ingat nak panggil ustaz-ustaz yang pernah ngajar kami dulu. Tapi kali ni kena ada jawatankuasa kot sebab nak kena cari budget jugak ni. Tapi takpa lah, yang tu kemudian. Yang penting saya start dulu. Selagi tak start pah kebilo tok jadi!

Malam tu sebelum tidur ada la saya draf sikit-sikit projek ni mcm mana, apa ke benda saya kena buat dll. Cadangannya lebih kurang macam ni :

1. Nama projek : Nostalgia MML - SPM 1988

2. Masa : Cuti sekolah Mei 2009.

3. Tempat : MML (mesti la kat sekolah, baru nostalgik)

4. Jemputan : Ust Nik Dir, Ust Wil Kedah, Cikgu Ayub, Ust Azahari, Ust Wan Sulaiman, Cikgu Fikri, Cikgu Mat Hasan dll yang mengajar kami subjek-subjek SPM dulu. Cikgu-cikgu lain pun mcm USt Soh Mekah, Ust Yo Pulah, Ust Ya Walad, Cikgu Khalid, Cikgu Arjuna dll akan dijemput juga.

5. Kena cari katering. Yang ni perlu ada budget ni.

6. Kena panggil orang kedai gambar mari tangkap gambar rasmi.

7. Kena panggil orang surat khabar. At least, Sinar Harian. Kalau boleh panggil Times lagi bagus!

8. Buat tayangan multimedia rangkuman gambar-gambar lama masa sekolah dulu.

9. Aturcara majlis tu bincang kemudian lah. Tapi saya cadangkan saper-saper nak berucap kita bagi copong. Cadangan-cadangan yang masuk akal kita catit dan kita try buat.

Itu yang terlintas di azhan saya.

If you want to make it happen, you must start now kan? so, saya akan mulakan dengan mengumpul data. Saya akan ke MML untuk dapatkan list student SPM 1988, kalau ada la. Kalau tak ada saya guna cara lain.

Lastly, harap ada kawan-kawan yang boleh bagi komen. Saya ingat balik KB bulan depan kena pergi jumpa orang no 1 masa kita sekolah dulu. Nazmi!

~ dari dalam nahzaluz





HARTAL

Hartal? Pertama kali dengar perkataan ni. Jahil politik sungguh saya. Memandangkan politik bukan bidang saya jadi tak lah malu sangat. Tetapi sebagai seorang pensyarah yang kerjanya mengajar orang, bukan mengejar wang, mahu tak mahu saya kena ambil tahu pasal politik. Juga pasal Hartal.

Dah 2 malam tak berinternet sebab ke UKM jumpa penyelia. Malam ni terjumpa blog Dr. Khir Toyo, mantan MB Selangor (www.drkhir.blogspot.com). Posting pertama beliau dimulakan semalam dan dalam masa 24 jam beliau telah menerima tak kurang dari 50 komen daripada 'penguasa dan pembesar' blogsphere.

Dalam banyak-banyak komen ada satu komen yang menarik perhatian saya. Ia menyebut ttg Hartal. Ada link untuk menonton satu dokumentari yang bertajuk 10 Tahun Sebelum Merdeka. Juga diberikan alamat blognya. Blog tersebut dah saya letakkan di weblinks blog saya ini.

Saya tertarik dengan apa yang saya jumpa malam ini bukan apa... sebagai orang yang terlibat dengan akademik, saya sedar bahawa dunia akademik menuntut kita supaya mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber. Ini kerana setiap peristiwa sejarah yang berlaku dilihat dari kacamata yang berbeza dan dicatat oleh tangan yang berlainan. Kepelbagaian sumber yang merakam dan melaporkan sesuatu peristiwa perlulah dimanfaatkan agar apa yang sebenarnya berlaku dan yang telah menjadi sejarah, berjaya dipersembahkan kepada generasi hari ini dalam versinya yang asal, tanpa pindaan, tanpa suntingan.

~ dari dalam nahzaluz





Thursday, March 27, 2008

Saya dan kawan-kawan : Projek MML SPM 1988




Dalam kehidupan kita ada 3 pihak yang sangat berpengaruh ke atas kita: keluarga kita (ayah, ibu, adik beradik dan saudara mara), isteri & anak-anak, dan kawan-kawan.

Dari segi keutamaan dan kuasa mempengaruhi, kawan-kawan berada di tempat ketiga. Itu sepatutnya, walaupun ada yang mengutamakan kawan-kawan berbanding keluarga.

Tetapi dari segi siapa dulu hadir dalam hidup kita dan cepat berkembang, kawan-kawan lah berbanding isteri dan anak-anak. Sebelum kahwin kita dah ada kawan, lepas kahwin kawan tetap bertambah.

Dalam kehidupan saya, dari sudut bila saya kenal kawan-kawan saya, mereka terbahagi kepada 7 period masa :

1. Kawan semasa sekolah rendah :

Mereka terdiri dari kawan sekampung dan satu sekolah. Saya dibesarkan di kampung Langgar, Kota Bharu dan bersekolah di SK Langgar dari tahun 1977-1982. Antara kawan-kawan dalam tempoh ini ialah Nik Mohd Sani, Marhami Arifin, Haswadi Omar, Nik Husri Nik Husin, Burhan, Roswiza Asma, Suria, Laila, Delin, Nik Mud, Adik (Nik Muhaiminzi), Adik Gemok, Arif, Danny, Saha ...

2. Kawan semasa sekolah menengah :

Saya bersekolah di Maahad Muhammadi Lelaki (MML), Kota Bharu (1983-1989). Terlalu ramai kawan kalau nak dituliskan di sini.Sekadar menyebut beberapa nama : Nazmi, Zainal, Lokman, Izwin, Rajib, Nasir, Saudi, Tajaharol, Seme, Imran, Marwan, Talib, Suhainief, Shukri, Rohaidi Habil, Raisyam, Taufek, Nik Lah, Nazmi Daud, Azmi Sulaiman, Rosman, BJ, Basit, Zaki Jack, Nazlan, MHY, Die Lundang Paku, Seli ...

3. Kawan semasa belajar di Madinah :

Ijazah pertama saya di Universiti Islam Madinah (1990-1995). Di peringkat ini, kawan-kawan saya bukan lagi dari kelantan sahaja bahkan seluruh Malaysia seperti Bakar Mamak, Suhaimi Kasim, Pok Din, Zain, Rahmat Singapore, Siraj, Najib Slooooow, Basit (Dr), Hamid, Jaafar, Yasir (Dr), Wan Sohor, Bedut, Mat Ali, Tado, Pok Pu, Fendi, Wan Noh, Hazman, Fadilah, Saleh Hamdin, Zulkifli al-Bakri (Dr), Zaini, Ayub, Rudaini, Nasir, Mat Saleh, Helmi Akhtar ...

4. Kawan semasa mengajar di Gua Musang :

Selepas habis belajar di Madinah, saya mengajar di Sek Men Ugama (Arab) Gua Musang (1996-97). Antara kawan-kawan saya di Gua Musang ialah Rizal, Nije (rahimahullah), Madi, Mat Husin, Cikgu Zul, Soh ...

5. Kawan semasa belajar di UKM :

Saya sambung MA di UKM pertengahan 1997. Antara kawan-kawan di peringkat ini ialah Wahid, Uqor, Jain, Mawardi, Gelap Gambor, Saidai, Najihuddin, Bambang, Janudin, Zamri Ahmad, Ibtisam, Faridah Indon, Ghazali Yusri, Suzana ...

6. Kawan semasa kerja di Ampang :

Semasa buat MA, saya kenal isteri saya sekarang. Kami satu kelas. Selepas kahwin, saya menetap di Ampang lebih kurang setahun setengah (1999-Mei 2000). Saya mengajar di Sek. Men. Islam ILMI, Ampang Jaya. Antara kawan-kawan saya ialah Shahrul, Ust Mud, Ust Ishak (rahimahullah), Agus, Ust Him, Razain, Kak Wan, Rozita, Aminah, Suhaila ...

7. Kawan UDM Kampus KUSZA :

Jun 2000 saya diterima mengajar di Pusat Bahasa, KUSZA, sekarang Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UDM Kampus KUSZA. Kawan-kawan di sini ramai la. Satu universiti kawan saya. Di sini kita diajar untuk panggil Sahabat. Di FBK, saya ada Ku Seimi, Sazol, Hisham, Taufik, Anuar, Mie dan Zaki. Itu saja spesis macam saya yang tinggal.

Alhamdulillah, saya ada ramai kawan. Syukur. Musuh? Tak tahu. Harap-harap tak ada. Orang Syiah? Mereka tetap kawan saya walaupun saya tak bersetuju dengan akidah mereka.

Tapi apa pulak kaitannya dengan Projek MML SPM 1988.

hmmm ... nanti saya cerita minggu depan. Nak bersiap ke UKM, jumpa penyelia. Pukul 2 insya Allah bertolak.

إلى اللقاء

My Family

Click to play Theater Slideshow
Create your own slideshow - Powered by Smilebox
Make a slideshow - it's easy!

Sunday, March 23, 2008

Ceramah Maulidurrasul Peringkat Sekolah

Hari ni sekolah tempat isteri saya mengajar adakan sambutan Maulidurrasul. Cuti hujung minggu lepas pihak sekolah bawak cikgu-cikgu pergi kursus di Langkawi. Semua cikgu diwajibkan pergi kecuali yang 'tak sihat', termasuklah isteri saya. Semasa kat Langkawi mereka buat keputusan kena adakan majlis sambutan Maulidurrasul pada hari Ahad sebab cikgu-cikgu akan sampai lewat sabtu malam dan mungkin keletihan kalau nak mengajar pagi esoknya. Isteri saya sebagai S/u perayaan Islam ditugaskan cari penceramah. Arahan diberikan melalui telefon hari jumaat, hari Ahad nak buat majlis. Isteri saya nak cari siapa? ... jawabnya terpaksalah si suaminya yang hencem ini jadi penceramah terjun. Takpa lah ...

Saya pun fikir la nak bagi ceramah lagu mana ni. Nak cakap apa bagi budak-budak tu tak boring. Tengah-tengah duk cari maklumat tu teringat yang saya pernah jadi pengerusi ceramah Maulidurrasul peringkat UDM Kampus KUSZA tahun lepas. Penceramahnya Ust. Tarmizi Taha. Seingat saya, saya ada save dia punya powerpoint. Apa lagi, saya pun cari la...alhamdulillah jumpa. Beres satu kerja. Baki lagi edit la sikit-sikit.

Saya fikir, budak-budak ni kalau dengar ceramah saja tentu boring. Kena ada something. Saya teringat saya ada download slide yang mengandungi gambar-gambar barangan peninggalan Nabi s.a.w yang disimpan di Muzium Turki. Bahan tu saya dapat kat metacafe.com. So, tambah lagi satu bahan.

Kemudian semasa merayau-rayau kat youtube cari ceramah Maulidurrasul, terjumpa ceramah Habib Ali al-Jifri tentang Nabi dan Cinta kepada baginda. Beliau cerita tentang kefawatan Nabi dan bagaimana para Sahabat Nabi s.a.w menghadapi kewafatan baginda. Bila saya tengok clip tu saya terfikir alangkah bagusnya kalau saya tunjukkan kepada budak-budak tu. Alangkah bagusnya kalau mereka mendengar sendiri dari mulut anak cucu Nabi yang menceritakan sendiri kisah hidup nenek moyang mereka.

Jadi, ceramah tadi saya bahagikan kepada 3 segmen: persembahan powerpoint, tayangan slide dan tayangan clip video. Di bawah adalah clip video yang saya maksudkan:






dan selepas ditunjukkan video clip tersebut, saya melihat ada mata-mata yang merah ...

اللهم صل وسلم على محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

~ dari dalam nahzaluz

Friday, March 21, 2008

Tak nak Syiah!!

Salah satu asas akidah Syiah yang wajib diimani penganut fahaman ini ialah imamah 12 orang Imam bermula dari S. Ali hingga Imam Mahdi yang ghaib telah dinaskan oleh Allah dan RasulNya. Bukan Syiah kalau tak beriman begitu. Antara dalilnya dalam kitab Syiah seperti Kamal al-deen, Ithbat al-hudaat, Muntakhab al-athar, Bihar al-anwar dan Nur al-thaqalain ialah hadis berikut :

عن جابر بن عبدالله الأنصاري رضي الله عنه قال: لما أنزل الله على نبيه صلى الله عليه وسلم: ((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنْكُمْ)) [النساء:59] فقلت: يا رسول الله، عرفنا الله ورسوله، فمن أولوا الأمر الذين قرن الله طاعتهم بطاعتك؟

قال: هم خلفائي يا جابر، أئمة المسلمين بعدي، أولهم: علي بن أبي طالب، ثم الحسن، ثم الحسين، ثم علي بن الحسين، ثم محمد بن علي المعروف في التوراة بالباقر، وستدركه يا جابر، فإذا أدركته فأقرئه مني السلام، ثم الصادق جعفر بن محمد، ثم موسى بن جعفر، ثم علي بن موسى، ثم محمد بن علي، ثم علي بن محمد، ثم الحسن بن علي، ثم سميي وكنيتي حجة الله على أرضه، وبقيته في عباده، ابن الحسن بن علي.

Maksudnya:

Dari Jabir bin Abdullah al-Ansari r.anhu berkata: Apabila Allah menurunkan ke atas NabiNya s.a.w : Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul dan Ulul Amri dari kalangan kamu (surah al-nisa’ ayat 59), lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah, kami dah kenal Allah dan RasulNya tapi siapakah Ulul Amri yang Allah sekalikan mentaati mereka dengan mentaatimu?

Nabi bersabda: Mereka adalah penggantiku wahai Jabir, para imam kaum muslimin selepasku. Yg pertama Ali bin Abi Talib, kemudian al-Hasan, kemudian al-Husain, kemudian Ali bin al-Husain, kemudian Muhammad bin Ali yang dikenali didalam kitab Taurat dengan al-Baqir dan engkau akan sempat dengannya wahai Jabir. Apabila engkau berjumpanya sampaikan salamku kepadanya. Kemudian al-Sadiq Jaafar bin Muhammad, kemudian Musa bin Jaafar, kemudian Ali bin Musa, kemudian Muhammad bin Ali. Kemudian Ali bin Muhammad, kemudian al-Hasan bin Ali, kemudian seorang yang namanya dan kunyahnya sama denganku, dialah Hujah Allah atas mukabumiNya dan tanda berterusannya (lantikan) Allah di kalangan hambaNya, iaitu anak al-Hasan bin Ali.

Persoalannya, benarkah begitu? Ini kerana kita dapati dalam riwayat Syiah juga ada dalil yang berlawanan dengan akidah tersebut. Sebagai contoh, diriwayatkan dalam al-Manaqib dan juga Bihar al-anwar sebagaimana berikut:

...أنه صلى الله عليه وسلم بكى عند موته، فجاءه جبرئيل، وقال: لم تبكي؟ قال: لأجل أمتي، من لهم بعدي؟ فرجع، ثم قال: إن الله تعالى يقول: أنا خليفتك في أمتك

Maksudnya:

... bahawa Nabi s.a.w menangis saat ajal baginda tiba lalu Jibril datang dan bertanya: Kenapa menangis? Baginda menjawab: Kerana umatku, siapakah akan menjaga mereka selepasku? Jibrail kembali kemudian berkata: Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman: Aku penggantimu dalam (urusan) umatmu.

Kenapa patut Nabi menangis sekiranya baginda dah tahu S. Ali lah pengganti baginda? Bahkan bukan setakat S. Ali, pengganti S. Ali sehingga ke keturunan seterusnya bukankah sudah diketahui?

Apa yang saya nukilkan di atas adalah satu contoh yang saya petik dari buku karangan sdr Faisal Noor di http://www.fnoor.com/mybooks/emama.htm

Metodologi buku ini ialah menghimpunkan riwayat-riwayat dalam kitab Syiah yang saling berlawanan antara satu sama lain untuk menunjukkan bahawa akidah al-Imamah tidak dibina atas dasar yang kukuh. Buku ini jika dibaca bersama dengan buku Haidar Ali al-Qummi yang saya sebutkan sebelum ini sudah cukup untuk menyakinkan kita supaya berkata : Tidak! kepada Syiah.

Tak nak Syiah!!

~ dari dalam nahzaluz

Masih lagi dengan isu Syiah

Dua tiga hari lepas sahabat saya, seorang ustaz yang aktif menghujat Syiah di internet (abunaaeilah.blogspot.com) ada menghantar SMS kepada saya tentang penjualan sebuah diari Syiah di kedai buku Muda Osman, Kota Bharu. Maklumat tesebut kemudian dimasukkan ke dalam laman web al-ahkam.

Syiah sekarang telah menggunakan pelbagai cara untuk menyebar fahaman mereka di kalangan masyarakat Sunni di Malaysia. Seingat saya lebih kurang 15 tahun dulu tanahair kita telah dikejutkan dengan isu Sunni-Syiah sehingga kerajaan menahan beberapa orang aktivis Syiah dalam ISA. Walaupun ada penahanan dan sekatan, fahaman ini terus tersebar sehinggakan seorang sasterawan muda, sdr Faisal Tehrani telah jelas menganut fahaman ini, lewat tulisan dan komentar beliau dalam weblog beliau. Semoga Allah memberikan beliau hidayahNya untuk kembali kepada mazhab ASWJ.

Antara isu yang dimainkan oleh Syiah dalam usaha mereka menggoyahkan pegangan Sunni ialah kedudukan Ahlul Bait. Mereka menzahirkan kepada khalayak Sunni bahawa Ahlul Bait Rasulullah s.a.w telah dizalimi oleh para Sahabat Nabi r.anhum atau dengan kata lain hubungan antara Ahlul Bait dan para Sahabat r.anhum ajma'in tidak baik.

Keadaan yang sebenarnya bukanlah begitu. Seorang ulama' dari zuriat keturunan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w, iaitu Habib 'Ali al-Jifri telah menjelaskan perkara yang sebenar:





رحم الله أهل بيت رسوله وأصحابه ورضي عنهم أجمعين

~ dari dalam nahzaluz

Thursday, March 20, 2008

Berhujah Dengan Syiah Menggunakan Sumbernya Sendiri

Antara teknik berhujah orang Syiah ialah memetik dalil dari kitab Sunni. Bagi Sunni yang tak biasa dengan teknik ni akan termenung jugak la barang seketika.

Dalam banyak-banyak buku atau sumber Syiah yang saya kumpul ialah buku Jalan Penyatuan Sunni-Syiah: Sebuah Kritikan Terhadap Riwayat Syiah Bahawa Para Imam Telah Dinaskan oleh Haidar Ali Qalamdaran al-Qummi.


Buku ini asalnya ditulis dalam bahasa Parsi dan diterjemah oleh Sa'ad Rustum ke bahasa Arab. Buku ini boleh didownload di http://www.fnoor.com/book43.zip setebal 94 mukasurat.

Setelah membaca buku ini timbul hasrat di hati saya untuk menterjemahkannya ke bahasa Melayu. Buku ini unik sebab ia ditulis oleh ulama' Syiah dan kita boleh gunakan hujahnya yang bersandarkan kepada kitab-kitab muktabar Syiah untuk menolak hujah Syiah. Maksud saya kita boleh gunakan buku ini untuk merealisasikan teknik berhujah yang saya katakan di awal tadi.

Sayapun dengan semangat yang berkobar-kobar pun mula lah terjemah... dan sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini akhirnya hampeh, habuk pun tarak heh heh. [G@y@t dan zayed kat ahkam.net dah tahu dah heh heh].

Opss ... tapi sempatlah jugak siap mukaddimahnya. Ok lah jugak sbb kalau kita baca mukaddimahnya kita akan nampak kepentingan buku ini dan bagaimana ia bleh digunakan dalam berhujah dengan Syiah.

=======

Mukaddimah Penterjemah (Sa’ad Rustum)

Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha penyayang. Segala puji hanya milik Allah dan cukuplah, dan salam ke atas hamba-hambaNya yang Dia pilih. Adapun selepas itu;

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap orang mukmin memiliki sifat suka mengambil berat terhadap urusan-urusan yang melibatkan umat Islam. Perpecahan umat Islam kepada bermacam-macam firaq, mazhab, dan kumpulan yang kadangkala bercakaran sesama mereka sehingga sampai ke peringkat sebahagian mengkafirkan sebahagian yang lain amat mendukacitakan. Stiap orang mukmin berharap semoga wujud jalan untuk menamatkan atau setidak-tidaknya membendung perbalahan ini. Jalan yang diharapkan itu tidak lain kecuali melalui persefahaman antara ulama’ setiap kumpulan umat Islam.

Setiap daripada mereka perlulah mengiktiraf hakikat mazhab kumpulan lain dan bersepakat di atas perkara-perkara pokok atau asas Islam yang diambil daripada Kitabullah dan Sunnah RasulNya s.a.w. Kemudian mereka saling bertolak ansur dalam perkara yang tiada kaitan dengan perkara pokok tersebut seperti ijtihad pada perkara-perkara furu’ dan tafsiran tentang peristiwa-peristiwa sejarah Islam. Hasilnya setiap kumpulan akan mengiktiraf keimanan, keislaman dan keselamatan kumpulan lain di akhirat serta berhenti dari mengajarkan kepada setiap pengikut mereka bahawa kumpulan lain adalah kafir, sesat dan akan ke neraka!

Dengan ini saf umat Islam akan bersatu dan hati anak-anak mereka akan saling berkasih sayang dalam ertikata yang sebenarnya, bukan secara zahirnya sahaja dan saling berkepentingan. Penyatuan ini sebenarnya adalah sesuatu yang sangat-sangat diperlukan oleh umat Islam, pada saat mereka menghadapi cabaran yang getir, permusuhan yang ketat serta serangan yang hebat dari musuh-musuh Islam di Timur dan Barat yang umumnya sudah mengenali mereka.

Keperluan kepada usaha taqrib (mendekatkan) antara mazhab-mazhab terbesar di dalam Islam ini – yang pada asalnya bersumberkan asas–asas Islam yang suci, dan perpecahannya pula adalah disebabkan oleh khilaf politik silam yang telah dimamah zaman – telah dirasai oleh tokoh-tokoh ilmuan dan ulama’ yang memiliki sikap mengutamakan kemaslahatan Islam dan umatnya. Mereka sedar betapa pentingnya melipatgandakan usaha ke arah menghapuskan silap faham yang timbul ekoran kejahilan pengikut setiap kumpulan.

Justeru, mereka telah bangkit dengan suatu usaha yang murni, iaitu dengan menerbitkan risalah, buku dan artikel tentang peri pentingnya umat Islam bersatu, sebagaimana yang diusahakan oleh Dar al-Taqrib di Kaherah, Mesir. Dar al-Taqrib telah menerbitkan beberapa buah majalah dan artikel bermutu yang ditulis oleh para ulama’ kedua-dua belah pihak, termasuk sebuah ensaiklopedia fekah yang menghimpunkan pendapat ulama’ lapan mazhab.

Di samping itu, ulama’ Sunni dan Syiah juga saling berutusan sesama mereka dan mengadakan beberapa siri perjumpaan di Iraq, Syria dan Lubnan, juga di Dar al-Taqrib yang ditubuh di Iran dan di dalam Nadwah-nadwah Taqrib antara mazhab-mazhab Islam yang diadakan di beberapa buah negara Islam termasuk di Asia dan Afrika Utara.

Pembaca yang budiman,

Kitab yang saya terjemahkan ini merupakan suatu usaha taqrib yang murni dari seorang ulama’ Iran yang munsif. Beliau melihat bahawa antara sebab utama kenapa pengikut mazhabnya jauh berbeza dengan seluruh umat Islam ialah akidah al-Imamah.

Akidah al-Imamah melihat bahawa para Imam 12 dari kalangan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w telah ditentukan oleh Allah s.w.t untuk menjadi Imam kepada umat Islam. Allah dan RasulNya menyuruh supaya mereka ditaati. Beriman dan mengenali mereka adalah satu perkara pokok dalam agama, menyamai perkara pokok yang lain seperti beriman kepada Allah, hari Akhirat dan kenabian Muhammad s.a.w.

Ini bermaksud bahawa seseorang muslim atau seseorang manusia itu tidak akan terselamat di akhirat nanti sekiranya dia tidak mengenali para Imam tersebut dan tidak beriman dengan kemaksuman dan keimamahan mereka.

Penulis telah menilai kesahihan akidah ini dan mengkaji sanadnya. Hasilnya beliau mendapati bahawa akidah ini telah disandarkan kepada hadis-hadis yang lemah dan maudu’ yang direkacipta oleh puak qhulat. Beliau juga mendapati bahawa bukti-bukti luaran seperti ayat-ayat al-Qur’an, peristiwa-peristiwa sejarah dan perjalanan hidup para Imam itu sendiri menyokong kepalsuan hadis-hadis dan riwayat-riwayat tersebut yang sekaligus menafikan keabsahan akidah al-Imamah yang dibina di atasnya.

Penulis kemudiannya mengarang buku ini, dengan harapan semoga terhapuslah faktor utama yang menjauhkan pengikut mazhab ini dari umat Islam keseluruhannya. Beliau menamakan buku ini dengan judul: Jalan Penyatuan Yang Luas. Akan tetapi beliau tidak sempat mencetaknya secara rasmi untuk disebarkan. Walau bagaimanapun, pada tahun 1978, kawan-kawan penulis telah berjaya menyalin buku ini menggunakan mesin taip, kemudian sekali lagi disalin menggunakan komputer IBM (Kedua-dua salinan ini penuh dengan kesilapan ejaan dan tidak tersusun). Mereka juga telah berjaya membuat beberapa ratus buah salinan photostat tetapi semuanya telah kehabisan.

Saya mengenali penulis buku ini semenjak 1980 ketika saya menetap di Iran. Saya pernah menziarahi beliau beberapa kali di rumahnya dan beliau telah menghadiahkan saya beberapa buah buku, antaranya buku yang saya terjemahkan ini.

Apabila saya membaca buku ini, timbul keazaman di hati saya untuk menterjemahnya kerana saya dapati ia merupakan suatu kajian yang mendalam, berani dan baru. Semenjak itu saya mula menterjemahnya dan saya ada memberitahu penulis tentang usaha saya itu. Beliau berasa gembira dan berterima kasih kepada saya. Akan tetapi suasana dan beban tugas yang banyak menyebabkan penterjemahan ini tertangguh. Keadaan ini berterusan sehinggalah saat Allah mengizinkan, selepas berlalu satu tempoh masa yang lama, dengan memberikan saya masa yang cukup untuk menghabiskan terjemahan ini pada tahun ini. Dan inilah ia buku tersebut, saya persembahkan kepada pembaca yang budiman.

Atas dasar amanah, sayugia saya sebutkan di dalam mukaddimah ini bahawa penulis buku ini –mengikut apa yang saya kenal secara peribadi- masih lagi bermazhab Syiah dan terlalu mencintai para Imam dari kalangan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w. Bahkan beliau ada mengarang sebuah buku yang merakan perasaan dan kerinduannya ketika menziarahi kubur Sayyidul Syuhada’ Sayyidina Husain bin Ali radiallahu anhuma. Beliau berbangga menjadi seorang bermazhab Ja’fari dan termasuk dari kalangan pengikut mazhab para Imam Ahlul Bait. Beliau berpendapat bahawa mazhab Ahlul Bait –dengan nas Hadis al-Thaqalain- adalah mazhab yang paling benar dan sepatutnya diikuti.

Justeru, tujuan buku ini disusun bukanlah untuk membatalkan asas tasyayyu’ atau melebihkan mazhab lain mengatasi mazhab Ahlul Bait. Ini kerana walaupun beliau tidak percaya S. Ali r.anhu telah dinaskan oleh Allah dan RasulNya menjadi khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w, pada hakikatnya beliau mengakui –sebagaimana yang tampak secara jelas di dalam buku yang saya terjemahkan ini- bahawa S. Ali r.anhu telah dinaskan keimamahannya dari sudut ruhiyyah (kerohanian), bukan siyasiyyah (politik). Beliau berpendapat bahawa Imam Ali a.s adalah sebaik-baik makhluk selepas Rasulullah dan paling layak menggantikan baginda seterusnya menjadi pemimpin umat Islam selepas kewafatan baginda s.a.w.

Ini bermakna, beliau melihat bahawa dakwaan wujudnya nas daripada Allah dan RasulNya tentang kekhalifaan S. Ali r.anhu dan para Imam dari kalangan anak cucunya merupakan satu fikrah yang tidak benar dan tiada sanad ilmu yang kukuh. Tiada faedah meneruskan dakwaan batil ini kerana ia akan mewujudkan jurang yang lebar antara Syiah dan umat Islam yang lain. Pendapat penulis dalam hal ini nampaknya sama dengan pendapat satu puak dari kalangan Syiah Zaidiyyah.

Oleh itu saya memperingatkan kepada para pembaca sekalian –samada bersetuju dengan penulis atau tidak- supaya menghormati tujuan penulis. Beliau adalah seorang mujtahid yang berhak menyatakan pandangannya yang disandarkan kepada dalil-dalil dan bukti-bukti yang beliau dapati. Sesiapa yang mahu menolak hujah beliau, dia juga berhak berbuat demikian. Pendapat penulis atau pendapat orang lain tidak menjadi kata pemutus dalam membincangkan tajuk yang mencabar ini.

Apapun, buku ini merupakan suatu kajian akidah dan fekah berdasarkan kritikan terhadap riwayat semata-mata tanpa ada mana-mana tujuan politik. Pada pendapat saya, kajian yang seperti ini, dari sudut mana sekalipun, tidak boleh dianggap penyebab berlakunya fitnah kerana ia tidak sekali-kali bercanggah dengan prinsip menjaga kesatuan umat Islam selagi mana ia berpegang dengan nilai akademik tulen tanpa celaan, provokasi mahupun tuduh menuduh.

Metodologi Penterjemahan

Berkenaan dengan penterjemahan ini, saya tidak hanya menterjemah teks asal penulis. Saya turut mengesahkan petikan-petikan yang penulis muatkan. Untuk itu saya telah merujuk kepada sumber asalnya dalam bahasa Arab untuk saya menyalin petikan tersebut satu persatu. Kadang-kadang saya tidak mendapati rujukan yang digunakan oleh penulis. Lalu saya sahkan daripada sumber lain yang mengandungi petikan yang sama.

Saya juga menyusun balik beberapa perenggan yang saya rasa perlu kepada susunan semula. Saya juga meringkaskan sedikit tajuk-tajuk yang saya lihat berulang atau keluar dari tajuk perbincangan.

Di samping itu, saya juga meletakkan beberapa tajuk kecil untuk lebih menjelaskan lagi maksud perenggan. Saya turut mengubah mana-mana tajuk yang dibuat oleh penulis yang tidak membawa maksud perenggan di bawahnya. Kadang-kadang saya tambah contoh lain dan panjangkan petikan sekiranya saya mendapati petikan yang dibuat oleh penulis ringkas dan pendek sedangkan sepatutnya penulis menukilkan keseluruhannya.

Walaupun perubahan yang saya lakukan itu amat sedikit dan tidak memerlukan saya memberitahu setiap tempat perubahan itu untuk mengelak notakaki menjadi banyak, atas nama amanah penterjemahan saya tunjukkan juga sebahagian besar tempat perubahan itu. Rasanya tiada yang tertinggal kecuali sedikit sahaja tempat yang tiada sebarang keperluan untuk disebut.

Di bahagian nota kaki saya muatkan bibliografi kebanyakan ulama’ yang disebut oleh penulis di dalam teks. Kadang-kadang saya memberikan sedikit komentar saya sendiri atau saya petik komentar-komentar dari dua orang kawan penulis yang sama fikrah dengan beliau, iaitu al-Marhum Ayatullah Abu al-Fadhl al-Barqa’ie dan seorang ‘Allamah yang minta dirahsiakan namanya.

Saya telah meletakkan simbol untuk nota kaki sebagaimana berikut:

i. Nota kaki tanpa simbol ditulis oleh penulis sendiri, iaitu al-Marhum Qalamdaran.

ii. Nota kaki bersimbol (PT) ditulis oleh saya selaku penterjemah.

iii. Nota kaki bersimbol (BQ) dipetik dari komentar yang ditulis oleh al-Marhum Ayatullah al-Barqa’ie.

iv. Nota kaki bersimbol (X) dipetik dari ‘Allamah yang minta dirahsiakan namanya itu. Beliau memohon supaya dirahsiakan namanya untuk mengelak tindakan dari pihak berkuasa sebagaimana yang diterima oleh penulis dan al-Marhum Ayatullah al-Barqa’ie.

Bibliogarafi Ringkas Penulis

Penulis ialah al-Marhum Haidar Ali bin Ismail Qalamdaran. Beliau dilahirkan di kampung Dizbijan, Qum, Iran pada tahun 1913M. Kedua ibubapanya orang kampung yang miskin. Beliau memulakan pengajian dengan belajar al-Qur’an di kampungnya. Disebabkan oleh minat yang mendalam untuk belajar membaca dan menulis, beliau membuat sendiri alat tulis kerana tidak mampu membelinya ekoran kemiskinan yang menguliti hidupnya. Lalu beliau digelar Qalamdaran yang bermaksud Tuan Punya Pen.

Beliau sangat gemar membaca dan mengkaji buku-buku agama semenjak kecil. Pada usia remaja beliau telah mula mencipta puisi dan menulis dalam beberapa buah majalah yang diterbitkan di Qum dan Tehran. Beliau juga pernah mengajar di beberapa buah sekolah di Bandar Qum.

Al-Marhum Qalamdaran telah menggunakan mata pena beliau untuk menulis artikel-artikel dalam mempertahankan agama Islam yang suci ini, menjawab dakwaan-dakwaan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam dan mengajak kepada pemulihan suasana serta membangkitkan kesedaran umat Islam.

Usaha dan pendekatan islah ini telah menghimpunkan beliau bersama para pemikir pembaharuan Islam Iran di zamannya seperti al-Marhum Ir. Mahdi Bazirkan (pernah sekejap memegang jawatan Ketua kerajaan Islam Sementara selepas kemenangan Revolusi Islam Iran pada Februari 1979) dan al-Marhum al-Syahid Dr. Ali Syariati. Tetapi individu yang banyak mempengaruhi beliau ialah al-Marhum Ayatullah Syeikh Muhammad Mahdi al-Khalisi yang pada masa itu dihukum buang negeri ke Iran oleh British yang berpengkalan di Iraq.

Detik perkenalan al-Marhum Qalamdaran dengan al-Marhum Syeikh al-Khalisi bermula selepas beliau menterjemah beberapa buah buku karangan al-Marhum Syeikh al-Khalisi seperti buku Islam Jalan Kebahagian dan Keselamatan dan buku Menghidupkan Syariat (sebuah indeks fekah dan akidah kontemporari dalam mazhab Ja’fari sebanyak 3 jilid). Selepas itu mereka berdua mula berutus-utus surat yang akhirnya membawa kepada pertemuan antara mereka beberapa kali.

Akan tetapi al-Marhum Qalamdaran pernah berkata kepada saya bahawa walaupun Syeikh al-Khalisi memiliki ilmu yang banyak dan bersikap berani dalam usaha islah dan menegakkan kebenaran, beliau telah mengambil sikap menerima sepenuhnya Usul Mazhab Syiah Imamiyyah. Adapun bagi al-Marhum Qalamdaran, tiada sebab untuk beliau berasa takut. Beliau maju beberapa langkah ke hadapan mendahului guru dan ikutannya itu, iaitu Syeikh al-Khalisi.

Hasilnya beliau mendapati bahawa sistem al-Khumus tidak wajib dan para Imam 12 tidak dinaskan oleh Allah dan RasulNya sebagai khalifah, bahkan mereka adalah ulama’ rabbaniyyun dan fuqaha’ mujtahid, manusia yang paling afdal di zaman mereka, yang sepatutnya diikuti melalui nas Hadis al-Thaqalain berdasarkan keupayaan diri, ketinggian kedudukan serta kekerabatan mereka dengan datuk mereka, iaitu Rasulullah s.a.w.

Beliau juga berkata bahawa Imam Mahdi yang ghaib dan bersembunyi tidak wujud sama sekali, raj’ah tidak akan berlaku dan sifat maksum hanya khusus untuk Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan risalah Tuhannya.

Di samping itu, hasil dari kajian beliau terhadap sejarah ziarah kubur di dalam Islam, beliau berpendapat bahawa tidak boleh membina kubah dan masjid di atas kubur orang-orang soleh samada dari kalangan para Imam Ahlul Bait atau anak cucu mereka. Beliau beranggapan menghias dan menjadikan kubur-kubur mereka sebagai tempat ibadat yang di tawaf serta tempat memohon hajat adalah salah. Beliau melihat bahawa kelakuan sedemikian adalah antara tanda-tanda syirik dalam ibadah. Saya teringat beliau pernah berkata kepada saya -saat beliau menunjuk ke arah kubur Fatimah binti Musa al-Kazim di Qum yang terletak betul-betul di hadapan rumahnya- bahawa apa yang berlaku di kuburan itu seolah-olah seperti sebuah tempat menyembah berhala!

Dalam hal ini beliau telah mengarang sebuah kitab yang bertajuk Penyelamat dari Kejahatan Puak Ghulat yang mengandungi lima kajian, iaitu kajian tentang Imam yang didakwa ghaib, al-Wilayah, syafaat, sifat ghuluw dan para ghulat, dan hakikat ziarah dan membina kuburan.

Sayugia saya sebutkan di sini bahawa buku yang saya terjemahkan ini adalah antara buku terakhir penulis. Ia diterbitkan sekitar tahun 1976M atau 1977M. Penulis pernah menceritakan kepada saya bahawa selepas buku ini tersebar, beliau dijemput oleh salah seorang ulama’ Syiah terkemuka di Qum, iaitu Ayatullah Murtadha al-Ha’irie. Beliau mencela penulis dan menasihatinya supaya mengutip kembali kitab ini dari kedai dan membakarnya! Al-Marhum Qalamdaran menjawab, “Kenapa perlu saya mengumpul dan membakarnya? Tolong nyatakan di manakah kesalahannya. Saya rela menarik balik kenyataan saya!” Setelah beliau mendapati perbincangan tidak mendatangkan sebarang faedah, beliau berkata, “Kamu sendirilah yang mengumpulnya dan buatlah apa yang kamu suka!”

Pada musim panas tahun 1979M, Qalamdaran menghadapi satu percubaan menbunuhnya di rumah beliau di kampung Dizbijan. Seorang penceroboh telah melepaskan tembakan ketika beliau sedang tidur. Akan tetapi beliau bernasib baik kerana peluru hanya menembusi kulit lehernya sahaja dan terbenam di lantai bilik. Allah s.w.t telah menyelamatkan beliau dengan izinNya walaupun si penjenayah sudah hampir mencapai tujuannya.

Selain dari buku yang saya terjemahkan ini, penulis juga memanfaatkan pembaca zamannya dengan beberapa buah buku agama dan islah yang berharga seperti :

i. Islam Jalan Kebahagiaan dan Keselamatan, iaitu terjemahan ke bahasa Parsi risalah ringkas tentang fekah dan akidah karangan al-Syeikh al-Khalisi.

ii. Hadiah Langit, iaitu himpunan artikel beliau yang disiarkan dalam akhbar Wazifah di Tehran.

iii. Hadiah Ketuhanan, iaitu terjemahan ke bahasa Parsi buku karangan al-Syeikh al-Khalisi yang bertajuk al-Jumu’ah. Beliau menyatakan bahawa sembahyang jumaat adalah wajib atas setiap individu pada setiap zaman. Ia bercanggah dengan fatwa yang mengatakan hukumnya adalah wajib secara pilihan di zaman Ghaibah.

iv. Haji atau Muktamar Islam Terbesar.

v. Kerajaan Islam (2 jilid). Antara kitab terpenting karangan penulis. Beliau antara yang pertama menulis tajuk ini di zamannya. Beliau pernah memberitahu saya bahawa al-Syeikh al-Faqih al-Mujahid Husain Ali al-Muntazari pernah mengajar buku ini secara rahsia kepada para pelajarnya di Najaf Abad. Buku ini telah menyebabkan penulis berada di bawah pengawasan perisikan Syah Iran.

vi. Kajian tentang kewajipan yang paling penting selepas sembahyang, iaitu zakat. Beliau menetapkan bahawa zakat diwajibkan pada setiap jenis harta, tanaman dan pemilikan tanpa membataskannya kepada tujuh jenis perkara sahaja sebagaimana yang diamalkan dalam mazhab Syiah Imamiyyah.

vii. Al-Khumus, iaitu satu kajian fekah berdasarkan kritikan terhadap riwayat dan perawinya. Kajian beliau ini menetapkan bahawa menunaikan 1/5 dari keuntungan pendapatan adalah tidak wajib. Pendapat beliau ini bercanggah dengan pendapat masyhur dalam mazhab Imamiyyah aliran Usuli.

Qalamdaran meninggal dunia pada tahun 1989 ketika berumur hampir 76 tahun. Tulisan dan kajian beliau telah memberi banyak manfaat kepada umat Islam. Semoga Allah merahmati beliau, mengampunkan dosanya dan memberikannya sebaik-baik balasan atas jasanya kepada Islam dan umatnya.

Sa’ad Rustum

Ajman: Zulhijjah 1416H.

Perhatian:

Selepas saya menterjemah naskhah lama yang saya sebutkan dulu (iaitu naskhah yang tidak tersusun dan dipenuhi dengan kesilapan ejaan, yang ditulis dengan mesin taip, yang saya susun balik dan menyalinnya menggunakan komputer saya, kemudian saya photostat beberapa naskhah), saya edarkan kepada beberapa orang kawan saya. Saya juga menghantar beberapa naskhah kepada kawan-kawan penulis yang sealiran dengannya di Tehran untuk mendapat komentar mereka. Mereka telah melahirkan rasa gembira mereka dan mengirimkan kepada saya naskhah baru dalam bahasa Parsi yang mereka terbitkan. Naskhah itu telah disahkan dan dimuat dengan nota kaki dan komentar yang sangat bernilai dari seorang ulama’ mujtahid muhaqqiq dari kalangan kawan penulis, iaitu ‘Allamah yang tidak mahu dinyatakan namanya itu. Mereka minta saya padankan terjemahan pertama saya dengan naskhah baru itu. Lalu saya lakukan apa yang mereka pinta dan saya masukkan kebanyakan nota kaki, tambahan dan susunan baru dalam terjemahan baru yang saudara pembaca tatapi sekarang. Saya katakan kebanyakan, bukan kesemuanya sebab sebahagiannya terlalu panjang dan terkeluar dari tajuk asal buku ini, bahkan ada yang bersifat penjelasan kepada isu-isu yang sudahpun jelas atau pengulangan kepada apa yang telah disebut di bahagian lain buku ini. Lalu saya tinggalkannya atau saya ambil yang bermanfaat sahaja.

Ajman: 5 Sya’ban 1420H


Diterjemah oleh nahzaluz