Dalam banyak-banyak buku atau sumber Syiah yang saya kumpul ialah buku Jalan Penyatuan Sunni-Syiah: Sebuah Kritikan Terhadap Riwayat Syiah Bahawa Para Imam Telah Dinaskan oleh Haidar Ali Qalamdaran al-Qummi.
Buku ini asalnya ditulis dalam bahasa Parsi dan diterjemah oleh Sa'ad Rustum ke bahasa Arab. Buku ini boleh didownload di http://www.fnoor.com/book43.zip setebal 94 mukasurat.
Setelah membaca buku ini timbul hasrat di hati saya untuk menterjemahkannya ke bahasa Melayu. Buku ini unik sebab ia ditulis oleh ulama' Syiah dan kita boleh gunakan hujahnya yang bersandarkan kepada kitab-kitab muktabar Syiah untuk menolak hujah Syiah. Maksud saya kita boleh gunakan buku ini untuk merealisasikan teknik berhujah yang saya katakan di awal tadi.
Sayapun dengan semangat yang berkobar-kobar pun mula lah terjemah... dan sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini akhirnya hampeh, habuk pun tarak heh heh. [G@y@t dan zayed kat ahkam.net dah tahu dah heh heh].
Opss ... tapi sempatlah jugak siap mukaddimahnya. Ok lah jugak sbb kalau kita baca mukaddimahnya kita akan nampak kepentingan buku ini dan bagaimana ia bleh digunakan dalam berhujah dengan Syiah.
=======
Mukaddimah Penterjemah (Sa’ad Rustum)
Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha penyayang. Segala puji hanya milik Allah dan cukuplah, dan salam ke atas hamba-hambaNya yang Dia pilih. Adapun selepas itu;
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap orang mukmin memiliki sifat suka mengambil berat terhadap urusan-urusan yang melibatkan umat Islam. Perpecahan umat Islam kepada bermacam-macam firaq, mazhab, dan kumpulan yang kadangkala bercakaran sesama mereka sehingga sampai ke peringkat sebahagian mengkafirkan sebahagian yang lain amat mendukacitakan. Stiap orang mukmin berharap semoga wujud jalan untuk menamatkan atau setidak-tidaknya membendung perbalahan ini. Jalan yang diharapkan itu tidak lain kecuali melalui persefahaman antara ulama’ setiap kumpulan umat Islam.
Setiap daripada mereka perlulah mengiktiraf hakikat mazhab kumpulan lain dan bersepakat di atas perkara-perkara pokok atau asas Islam yang diambil daripada Kitabullah dan Sunnah RasulNya s.a.w. Kemudian mereka saling bertolak ansur dalam perkara yang tiada kaitan dengan perkara pokok tersebut seperti ijtihad pada perkara-perkara furu’ dan tafsiran tentang peristiwa-peristiwa sejarah Islam. Hasilnya setiap kumpulan akan mengiktiraf keimanan, keislaman dan keselamatan kumpulan lain di akhirat serta berhenti dari mengajarkan kepada setiap pengikut mereka bahawa kumpulan lain adalah kafir, sesat dan akan ke neraka!
Dengan ini saf umat Islam akan bersatu dan hati anak-anak mereka akan saling berkasih sayang dalam ertikata yang sebenarnya, bukan secara zahirnya sahaja dan saling berkepentingan. Penyatuan ini sebenarnya adalah sesuatu yang sangat-sangat diperlukan oleh umat Islam, pada saat mereka menghadapi cabaran yang getir, permusuhan yang ketat serta serangan yang hebat dari musuh-musuh Islam di Timur dan Barat yang umumnya sudah mengenali mereka.
Keperluan kepada usaha taqrib (mendekatkan) antara mazhab-mazhab terbesar di dalam Islam ini – yang pada asalnya bersumberkan asas–asas Islam yang suci, dan perpecahannya pula adalah disebabkan oleh khilaf politik silam yang telah dimamah zaman – telah dirasai oleh tokoh-tokoh ilmuan dan ulama’ yang memiliki sikap mengutamakan kemaslahatan Islam dan umatnya. Mereka sedar betapa pentingnya melipatgandakan usaha ke arah menghapuskan silap faham yang timbul ekoran kejahilan pengikut setiap kumpulan.
Justeru, mereka telah bangkit dengan suatu usaha yang murni, iaitu dengan menerbitkan risalah, buku dan artikel tentang peri pentingnya umat Islam bersatu, sebagaimana yang diusahakan oleh Dar al-Taqrib di Kaherah, Mesir. Dar al-Taqrib telah menerbitkan beberapa buah majalah dan artikel bermutu yang ditulis oleh para ulama’ kedua-dua belah pihak, termasuk sebuah ensaiklopedia fekah yang menghimpunkan pendapat ulama’ lapan mazhab.
Di samping itu, ulama’ Sunni dan Syiah juga saling berutusan sesama mereka dan mengadakan beberapa siri perjumpaan di Iraq, Syria dan Lubnan, juga di Dar al-Taqrib yang ditubuh di Iran dan di dalam Nadwah-nadwah Taqrib antara mazhab-mazhab Islam yang diadakan di beberapa buah negara Islam termasuk di Asia dan Afrika Utara.
Pembaca yang budiman,
Kitab yang saya terjemahkan ini merupakan suatu usaha taqrib yang murni dari seorang ulama’
Akidah al-Imamah melihat bahawa para Imam 12 dari kalangan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w telah ditentukan oleh Allah s.w.t untuk menjadi Imam kepada umat Islam. Allah dan RasulNya menyuruh supaya mereka ditaati. Beriman dan mengenali mereka adalah satu perkara pokok dalam agama, menyamai perkara pokok yang lain seperti beriman kepada Allah, hari Akhirat dan kenabian Muhammad s.a.w.
Ini bermaksud bahawa seseorang muslim atau seseorang manusia itu tidak akan terselamat di akhirat nanti sekiranya dia tidak mengenali para Imam tersebut dan tidak beriman dengan kemaksuman dan keimamahan mereka.
Penulis telah menilai kesahihan akidah ini dan mengkaji sanadnya. Hasilnya beliau mendapati bahawa akidah ini telah disandarkan kepada hadis-hadis yang lemah dan maudu’ yang direkacipta oleh puak qhulat. Beliau juga mendapati bahawa bukti-bukti luaran seperti ayat-ayat al-Qur’an, peristiwa-peristiwa sejarah dan perjalanan hidup para Imam itu sendiri menyokong kepalsuan hadis-hadis dan riwayat-riwayat tersebut yang sekaligus menafikan keabsahan akidah al-Imamah yang dibina di atasnya.
Penulis kemudiannya mengarang buku ini, dengan harapan semoga terhapuslah faktor utama yang menjauhkan pengikut mazhab ini dari umat Islam keseluruhannya. Beliau menamakan buku ini dengan judul: Jalan Penyatuan Yang Luas. Akan tetapi beliau tidak sempat mencetaknya secara rasmi untuk disebarkan. Walau bagaimanapun, pada tahun 1978, kawan-kawan penulis telah berjaya menyalin buku ini menggunakan mesin taip, kemudian sekali lagi disalin menggunakan komputer IBM (Kedua-dua salinan ini penuh dengan kesilapan ejaan dan tidak tersusun). Mereka juga telah berjaya membuat beberapa ratus buah salinan photostat tetapi semuanya telah kehabisan.
Saya mengenali penulis buku ini semenjak 1980 ketika saya menetap di
Apabila saya membaca buku ini, timbul keazaman di hati saya untuk menterjemahnya kerana saya dapati ia merupakan suatu kajian yang mendalam, berani dan baru. Semenjak itu saya mula menterjemahnya dan saya ada memberitahu penulis tentang usaha saya itu. Beliau berasa gembira dan berterima kasih kepada saya. Akan tetapi suasana dan beban tugas yang banyak menyebabkan penterjemahan ini tertangguh. Keadaan ini berterusan sehinggalah saat Allah mengizinkan, selepas berlalu satu tempoh masa yang lama, dengan memberikan saya masa yang cukup untuk menghabiskan terjemahan ini pada tahun ini. Dan inilah ia buku tersebut, saya persembahkan kepada pembaca yang budiman.
Atas dasar amanah, sayugia saya sebutkan di dalam mukaddimah ini bahawa penulis buku ini –mengikut apa yang saya kenal secara peribadi- masih lagi bermazhab Syiah dan terlalu mencintai para Imam dari kalangan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w. Bahkan beliau ada mengarang sebuah buku yang merakan perasaan dan kerinduannya ketika menziarahi kubur Sayyidul Syuhada’ Sayyidina Husain bin Ali radiallahu anhuma. Beliau berbangga menjadi seorang bermazhab Ja’fari dan termasuk dari kalangan pengikut mazhab para Imam Ahlul Bait. Beliau berpendapat bahawa mazhab Ahlul Bait –dengan nas Hadis al-Thaqalain- adalah mazhab yang paling benar dan sepatutnya diikuti.
Justeru, tujuan buku ini disusun bukanlah untuk membatalkan asas tasyayyu’ atau melebihkan mazhab lain mengatasi mazhab Ahlul Bait. Ini kerana walaupun beliau tidak percaya S. Ali r.anhu telah dinaskan oleh Allah dan RasulNya menjadi khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w, pada hakikatnya beliau mengakui –sebagaimana yang tampak secara jelas di dalam buku yang saya terjemahkan ini- bahawa S. Ali r.anhu telah dinaskan keimamahannya dari sudut ruhiyyah (kerohanian), bukan siyasiyyah (politik). Beliau berpendapat bahawa Imam Ali a.s adalah sebaik-baik makhluk selepas Rasulullah dan paling layak menggantikan baginda seterusnya menjadi pemimpin umat Islam selepas kewafatan baginda s.a.w.
Ini bermakna, beliau melihat bahawa dakwaan wujudnya nas daripada Allah dan RasulNya tentang kekhalifaan S. Ali r.anhu dan para Imam dari kalangan anak cucunya merupakan satu fikrah yang tidak benar dan tiada sanad ilmu yang kukuh. Tiada faedah meneruskan dakwaan batil ini kerana ia akan mewujudkan jurang yang lebar antara Syiah dan umat Islam yang lain. Pendapat penulis dalam hal ini nampaknya sama dengan pendapat satu puak dari kalangan Syiah Zaidiyyah.
Oleh itu saya memperingatkan kepada para pembaca sekalian –samada bersetuju dengan penulis atau tidak- supaya menghormati tujuan penulis. Beliau adalah seorang mujtahid yang berhak menyatakan pandangannya yang disandarkan kepada dalil-dalil dan bukti-bukti yang beliau dapati. Sesiapa yang mahu menolak hujah beliau, dia juga berhak berbuat demikian. Pendapat penulis atau pendapat orang lain tidak menjadi kata pemutus dalam membincangkan tajuk yang mencabar ini.
Apapun, buku ini merupakan suatu kajian akidah dan fekah berdasarkan kritikan terhadap riwayat semata-mata tanpa ada mana-mana tujuan politik. Pada pendapat saya, kajian yang seperti ini, dari sudut mana sekalipun, tidak boleh dianggap penyebab berlakunya fitnah kerana ia tidak sekali-kali bercanggah dengan prinsip menjaga kesatuan umat Islam selagi mana ia berpegang dengan nilai akademik tulen tanpa celaan, provokasi mahupun tuduh menuduh.
Metodologi Penterjemahan
Berkenaan dengan penterjemahan ini, saya tidak hanya menterjemah teks asal penulis. Saya turut mengesahkan petikan-petikan yang penulis muatkan. Untuk itu saya telah merujuk kepada sumber asalnya dalam bahasa Arab untuk saya menyalin petikan tersebut satu persatu. Kadang-kadang saya tidak mendapati rujukan yang digunakan oleh penulis. Lalu saya sahkan daripada sumber lain yang mengandungi petikan yang sama.
Saya juga menyusun balik beberapa perenggan yang saya rasa perlu kepada susunan semula. Saya juga meringkaskan sedikit tajuk-tajuk yang saya lihat berulang atau keluar dari tajuk perbincangan.
Di samping itu, saya juga meletakkan beberapa tajuk kecil untuk lebih menjelaskan lagi maksud perenggan. Saya turut mengubah mana-mana tajuk yang dibuat oleh penulis yang tidak membawa maksud perenggan di bawahnya. Kadang-kadang saya tambah contoh lain dan panjangkan petikan sekiranya saya mendapati petikan yang dibuat oleh penulis ringkas dan pendek sedangkan sepatutnya penulis menukilkan keseluruhannya.
Walaupun perubahan yang saya lakukan itu amat sedikit dan tidak memerlukan saya memberitahu setiap tempat perubahan itu untuk mengelak notakaki menjadi banyak, atas nama amanah penterjemahan saya tunjukkan juga sebahagian besar tempat perubahan itu. Rasanya tiada yang tertinggal kecuali sedikit sahaja tempat yang tiada sebarang keperluan untuk disebut.
Di bahagian nota kaki saya muatkan bibliografi kebanyakan ulama’ yang disebut oleh penulis di dalam teks. Kadang-kadang saya memberikan sedikit komentar saya sendiri atau saya petik komentar-komentar dari dua orang kawan penulis yang sama fikrah dengan beliau, iaitu al-Marhum Ayatullah Abu al-Fadhl al-Barqa’ie dan seorang ‘Allamah yang minta dirahsiakan namanya.
Saya telah meletakkan simbol untuk nota kaki sebagaimana berikut:
i. Nota kaki tanpa simbol ditulis oleh penulis sendiri, iaitu al-Marhum Qalamdaran.
ii. Nota kaki bersimbol (PT) ditulis oleh saya selaku penterjemah.
iii. Nota kaki bersimbol (BQ) dipetik dari komentar yang ditulis oleh al-Marhum Ayatullah al-Barqa’ie.
iv. Nota kaki bersimbol (X) dipetik dari ‘Allamah yang minta dirahsiakan namanya itu. Beliau memohon supaya dirahsiakan namanya untuk mengelak tindakan dari pihak berkuasa sebagaimana yang diterima oleh penulis dan al-Marhum Ayatullah al-Barqa’ie.
Bibliogarafi Ringkas Penulis
Penulis ialah al-Marhum Haidar Ali bin Ismail Qalamdaran. Beliau dilahirkan di kampung Dizbijan,
Beliau sangat gemar membaca dan mengkaji buku-buku agama semenjak kecil. Pada usia remaja beliau telah mula mencipta puisi dan menulis dalam beberapa buah majalah yang diterbitkan di Qum dan
Al-Marhum Qalamdaran telah menggunakan mata pena beliau untuk menulis artikel-artikel dalam mempertahankan agama Islam yang suci ini, menjawab dakwaan-dakwaan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam dan mengajak kepada pemulihan suasana serta membangkitkan kesedaran umat Islam.
Usaha dan pendekatan islah ini telah menghimpunkan beliau bersama para pemikir pembaharuan Islam
Detik perkenalan al-Marhum Qalamdaran dengan al-Marhum Syeikh al-Khalisi bermula selepas beliau menterjemah beberapa buah buku karangan al-Marhum Syeikh al-Khalisi seperti buku Islam Jalan Kebahagian dan Keselamatan dan buku Menghidupkan Syariat (sebuah indeks fekah dan akidah kontemporari dalam mazhab Ja’fari sebanyak 3 jilid). Selepas itu mereka berdua mula berutus-utus
Akan tetapi al-Marhum Qalamdaran pernah berkata kepada saya bahawa walaupun Syeikh al-Khalisi memiliki ilmu yang banyak dan bersikap berani dalam usaha islah dan menegakkan kebenaran, beliau telah mengambil sikap menerima sepenuhnya Usul Mazhab Syiah Imamiyyah. Adapun bagi al-Marhum Qalamdaran, tiada sebab untuk beliau berasa takut. Beliau maju beberapa langkah ke hadapan mendahului guru dan ikutannya itu, iaitu Syeikh al-Khalisi.
Hasilnya beliau mendapati bahawa sistem al-Khumus tidak wajib dan para Imam 12 tidak dinaskan oleh Allah dan RasulNya sebagai khalifah, bahkan mereka adalah ulama’ rabbaniyyun dan fuqaha’ mujtahid, manusia yang paling afdal di zaman mereka, yang sepatutnya diikuti melalui nas Hadis al-Thaqalain berdasarkan keupayaan diri, ketinggian kedudukan serta kekerabatan mereka dengan datuk mereka, iaitu Rasulullah s.a.w.
Beliau juga berkata bahawa Imam Mahdi yang ghaib dan bersembunyi tidak wujud sama sekali, raj’ah tidak akan berlaku dan sifat maksum hanya khusus untuk Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan risalah Tuhannya.
Di samping itu, hasil dari kajian beliau terhadap sejarah ziarah kubur di dalam Islam, beliau berpendapat bahawa tidak boleh membina kubah dan masjid di atas kubur orang-orang soleh samada dari kalangan para Imam Ahlul Bait atau anak cucu mereka. Beliau beranggapan menghias dan menjadikan kubur-kubur mereka sebagai tempat ibadat yang di tawaf serta tempat memohon hajat adalah salah. Beliau melihat bahawa kelakuan sedemikian adalah antara tanda-tanda syirik dalam ibadah. Saya teringat beliau pernah berkata kepada saya -saat beliau menunjuk ke arah kubur Fatimah binti Musa al-Kazim di
Dalam hal ini beliau telah mengarang sebuah kitab yang bertajuk Penyelamat dari Kejahatan Puak Ghulat yang mengandungi lima kajian, iaitu kajian tentang Imam yang didakwa ghaib, al-Wilayah, syafaat, sifat ghuluw dan para ghulat, dan hakikat ziarah dan membina kuburan.
Sayugia saya sebutkan di sini bahawa buku yang saya terjemahkan ini adalah antara buku terakhir penulis. Ia diterbitkan sekitar tahun 1976M atau 1977M. Penulis pernah menceritakan kepada saya bahawa selepas buku ini tersebar, beliau dijemput oleh salah seorang ulama’ Syiah terkemuka di
Pada musim panas tahun 1979M, Qalamdaran menghadapi satu percubaan menbunuhnya di rumah beliau di kampung Dizbijan. Seorang penceroboh telah melepaskan tembakan ketika beliau sedang tidur. Akan tetapi beliau bernasib baik kerana peluru hanya menembusi kulit lehernya sahaja dan terbenam di lantai bilik. Allah s.w.t telah menyelamatkan beliau dengan izinNya walaupun si penjenayah sudah hampir mencapai tujuannya.
Selain dari buku yang saya terjemahkan ini, penulis juga memanfaatkan pembaca zamannya dengan beberapa buah buku agama dan islah yang berharga seperti :
i. Islam Jalan Kebahagiaan dan Keselamatan, iaitu terjemahan ke bahasa Parsi risalah ringkas tentang fekah dan akidah karangan al-Syeikh al-Khalisi.
ii. Hadiah Langit, iaitu himpunan artikel beliau yang disiarkan dalam akhbar Wazifah di Tehran.
iii. Hadiah Ketuhanan, iaitu terjemahan ke bahasa Parsi buku karangan al-Syeikh al-Khalisi yang bertajuk al-Jumu’ah. Beliau menyatakan bahawa sembahyang jumaat adalah wajib atas setiap individu pada setiap zaman. Ia bercanggah dengan fatwa yang mengatakan hukumnya adalah wajib secara pilihan di zaman Ghaibah.
iv. Haji atau Muktamar Islam Terbesar.
v. Kerajaan Islam (2 jilid). Antara kitab terpenting karangan penulis. Beliau antara yang pertama menulis tajuk ini di zamannya. Beliau pernah memberitahu saya bahawa al-Syeikh al-Faqih al-Mujahid Husain Ali al-Muntazari pernah mengajar buku ini secara rahsia kepada para pelajarnya di Najaf Abad. Buku ini telah menyebabkan penulis berada di bawah pengawasan perisikan Syah
vi. Kajian tentang kewajipan yang paling penting selepas sembahyang, iaitu zakat. Beliau menetapkan bahawa zakat diwajibkan pada setiap jenis harta, tanaman dan pemilikan tanpa membataskannya kepada tujuh jenis perkara sahaja sebagaimana yang diamalkan dalam mazhab Syiah Imamiyyah.
vii. Al-Khumus, iaitu satu kajian fekah berdasarkan kritikan terhadap riwayat dan perawinya. Kajian beliau ini menetapkan bahawa menunaikan 1/5 dari keuntungan pendapatan adalah tidak wajib. Pendapat beliau ini bercanggah dengan pendapat masyhur dalam mazhab Imamiyyah aliran Usuli.
Qalamdaran meninggal dunia pada tahun 1989 ketika berumur hampir 76 tahun. Tulisan dan kajian beliau telah memberi banyak manfaat kepada umat Islam. Semoga Allah merahmati beliau, mengampunkan dosanya dan memberikannya sebaik-baik balasan atas jasanya kepada Islam dan umatnya.
Sa’ad Rustum
‘
Perhatian:
Selepas saya menterjemah naskhah lama yang saya sebutkan dulu (iaitu naskhah yang tidak tersusun dan dipenuhi dengan kesilapan ejaan, yang ditulis dengan mesin taip, yang saya susun balik dan menyalinnya menggunakan komputer saya, kemudian saya photostat beberapa naskhah), saya edarkan kepada beberapa orang kawan saya. Saya juga menghantar beberapa naskhah kepada kawan-kawan penulis yang sealiran dengannya di
‘
Diterjemah oleh nahzaluz
No comments:
Post a Comment